Budak 10 Tahun Positif Dadah Di Pokok Sena Kembali Pada Ibu


ALOR STAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang didapati positif ujian dadah sebelum ini telah kembali di bawah jagaan ibu kandungnya setelah keluar daripada Hospital Sultanah Bahiyah.

Kanak-kanak terbabit terdahulu dimasukkan ke dalam wad di hospital tersebut selepas Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) menyelamatkannya, bersama-sama enam lagi adik-beradik tirinya yang lain.

Kesemua mereka diselamatkan AADK selepasserbuan dilakukan ke rumah keluarganya di Desa Keda, Kampung Bukit, Pokok Sena, di sini, Khamis lalu.

Ketujuh-tujuh merekadidapati positif dadah manakala kanak-kanak itu pula diuji positif dadah jenis methamphetamine.

Pengarah Jabatan Kebajikan Kedah, Azmi Abd Karim berkata, budak itu sebelum ini berada di bawah jagaan arwah bapanya setelah kedua-dua ibu bapanya bercerai.

“Siasatan kami mendapati wanita itu telahpun berkahwin baru dan kini tinggal di Tandop, di sini.

“Dia telah cuba untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak itu namun dihalang oleh si bapa,” jelas Azmi lagi.

Menurut Azmi, budak lelaki itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan berada di bawah pemantauan seorang pegawai kebajikan.

Difahamkan bahawa kanak-kanak terbabit tinggal bersama-sama enam orang abangnya yang berusia antara 16 hingga 30 tahun selepas bapa kandung mereka meninggal dunia, empat tahun lalu.

Mereka bergantung hidup kepada abang sulung mereka yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, lelaki itu telah menjadi penagih dadah dan mempengaruhi adik-beradiknya yang lain.

Menurut Azmi lagi, keenam-enam mereka telah dirujuk kepada AADK untuk tindakan lanjut. - Kedahnews.com