SUNGAI PETANI - Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kejadian letupan bunga api ketika sambutan Thaipusam, di Jalan Sekerat, di sini, yang mencederakan pengunjung malam tadi.
Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah, Senator Datuk Jaspal Singh, berkata ini kerana acara membakar bunga api tiada dalam atur cara sambutan Thaipusam yang berlangsung sejak Rabu, sekali gus dikhuatiri diadakan dengan niat yang tidak baik.
"Sebelum bermula sambutan ada perbincangan membabitkan polis, pihak kuil dan masyarakat berkenaan acara sambutan pada kali ini.
"Untuk mesyuarat terakhir, saya sendiri hadiri dan acara pertunjukan bunga api tiada dalam perbincangan, ...orang yang buat itu kita tak tahu sama ada dia datang untuk meraikan atau ada niat lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melawat mangsa kejadian itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, malam ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran.
Jaspal berkata, pihaknya dimaklumkan 28 mangsa cedera termasuk kanak-kanak dalam kejadian di Jalan Sekerat, di sini, dikejarkan ke HSAH dan ramai lagi dikatakan mendapat rawatan di hospital swasta berdekatan.
"Saya dimaklumkan ada ramai lagi mangsa yang cedera bukan sahaja akibat terkena serpihan bunga api, tetapi juga yang cedera ketika cuba menyelamatkan diri seperti terjatuh," katanya.
Katanya, kejadian itu berlaku pada malam ketiga sambutan Thaipusam ketika penganut Hindu sedang melihat perarakan pedati berhala.
Perarakan itu membabitkan jarak keseluruhan sejauh 10 kilometer bermula jam 7.30 malam dari Kuil Sri Subramaniam Swami di sini dan dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung.
Sumber: BH Online