Burukkan Pemimpin UMNO Di FB, Bukan Akaun Sebenar Siti Nurhaliza


AKAUN Facebook yang kononnya menggunakan nama Datuk Seri Nurhaliza Tarudin, dengan kapsyen yang memburukkan seorang pemimpin Umno bukanlah akaun sebenar beliau.

Pembantu peribadi Siti Nurhaliza, Rozi berkata, akaun berkenaan palsu dan berniat jahat untuk memburukkan Siti Nurhaliza.

“Siti Nurhaliza ada tiga akaun media sosial iaitu Facebook Page: Siti Nurhaliza; Instagram : ctdk; Twitter : CTNurhaliza11.

“Jika selain daripada yang itu adalah palsu, ada yang tak bertanggungjawab kongsi admin dan memakai nama Datuk Seri Nurhaliza dan sebagainya bermaharajalela di akaun- akaun palsu sampai buat fitnah,” jelasnya di Instagramnya.

Justeru, Rozi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati supaya tidak tersalah sangka hinggakan menimbulkan fitnah kepada orang yang tidak bersalah.

“Tak fikir dosa pahala, dahlah buat fitnah, orang lain yang memanjangkan fitnah itu dan akhirnya Siti Nurhaliza yang sebenar menjadi mangsa, baling batu sembunyi tangan, melampau,” katanya.

Sebelum itu, Facebook palsu yang menggunakan nama Siti Nurhaliza menimbulkan kekeliruan orang ramai apabila memuatnaik kenyataan yang memburukkan seorang pemimpin Umno.

Pemerhatian Sinar Online ketika ini mendapati akaun itu sudah dinyahaktifkan.

Sumber -Sinar