KUALA LUMPUR – Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan mencadangkan beberapa inisiatif semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Mei depan, bagi memastikan badminton kekal kompetitif dalam industri sukan yang semakin mencabar kini.
Antara inisiatif dijangka dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, itu adalah untuk meningkatkan sistem mata (11 mata dalam lima set), mengehadkan tempoh jurulatih bertemu pemain semasa perlawanan, dan peraturan-peraturan berhubung ‘servis’ ketika perlawanan.
Presiden BWF Poul-Erik Hoyer Larsen berkata perkara itu penting bagi badan induk badminton dunia itu supaya tidak mudah berpuas hati dengan inisiatif pada masa ini, namun bergerak seiring dengan peredaran zaman dengan melakukan penambahbaikan terhadap sukan berkenaan.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan dan menambahbaik sukan berkenaan dengan pelbagai inisiatif yang akan merealisasikan potensi badminton secara global; meningkatkannya ke peringkat lebih tinggi dalam semua aspek,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan BWF kelmarin.
“Kita mesti terus menarik dan menghiburkan peminat yang mempunyai banyak pilihan..pilihan menakjubkan dalam pasaran sukan global yang kompetitif,” kata legenda badminton Denmark itu.
Untuk rekod, anggota Majlis BWF sudah mengesahkan satu pakej inisiatif yang bertujuan menjadikan badminton lebih menarik semasa mesyuarat terakhir badan induk itu pada November tahun lepas di Montego Bay, Jamaica.
Beberapa inisiatif tersebut sudah dilaksanakan ketika kejohanan Jelajah Dunia musim ini. –Bernama