ALOR SETAR – Perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei sedia memberi laluan kepada pemain muda untuk beraksi pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018.
Chong Wei yang berada di ranking kedua dunia itu berkata, kejohanan sebegini boleh menjadi medan persediaan kepada pemain muda untuk meneruskan cabaran sebenar pada pusingan akhir Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, pada Mei nanti.
“Saya akan berbincang dengan jurulatih dan pengurus pasukan. Mana tahu kalau-kalau jurulatih hendak bagi peluang kepada pemain muda. Mereka boleh dapat peluang berlatih untuk saingan Piala Thomas yang sebenar.
“Pada kejohanan kali ini kita juga dapat lihat peningkatan prestasi Lee Zii Jia dan Iskandar (Iskandar Zulkarnain Zainuddin) yang walaupun kalah dengan Thailand, dia bangkit ketika menentang Myanmar dan Taiwan,” katanya.
Sepanjang kejohanan berlangsung, Chong Wei yang turun selaku perseorangan pertama negara tidak mengecewakan apabila menghadiahkan mata pertama buat pasukan negara, diikuti perseorangan kedua negara Zii Jia yang mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang kejohanan.
Selain Chong Wei dan Zii Jia, Malaysia mempunyai Iskandar Zulkarnain dan Soong Joo Vern dalam senarai pemain perseorangan pada saingan kali ini.
Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek menegaskan bahawa semangat tinggi yang dimiliki oleh barisan pemain sama ada perseorangan ataupun beregu yang membolehkan skuad negara mara ke separuh akhir, sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Thomas secara merit.
Skuad negara sebelum ini dilihat memilih laluan sukar apabila tewas dalam perlawanan pertama 2-3 ketika menentang Thailand dalam saingan kumpulan C, bagaimanapun bangkit menundukkan Myanmar dan Taiwan 5-0.
“Pada awalnya, ketika menentang Thailand, saya nampak pemain agak gugup, ada terlalu berjaga-jaga, berhati-hati tapi setelah perlawanan demi perlawanan diharungi, para pemain sudah menampakkan keyakinan dari segi permainan, semangat berpasukan dan strategi yang turut menambah kepada keinginan untuk menang dan sehingga tahap inilah mereka berada sekarang,” katanya.
Katanya, kejayaan skuad negara khususnya pemain perseorangan membuktikan mereka telah berjaya menyahut cabaran dan telah diterjemahkan dalam prestasi ketika perlawanan, yang membuahkan hasil yang sebelum ini dilihat mustahil untuk skuad negara mara ke separuh akhir.
“Saya harap para pemain boleh meneruskan perjuangan hingga ke final. Yang penting, kita dapat lihat pemain tidak ada rasa berbelah bahagi. Mereka perlu hilangkan rasa itu untuk dapatkan prestasi yang baik,” katanya. – BERNAMA