Corbin-Ong Suka Beraksi Di Malaysia


KUALA LUMPUR - La'Vere Corbin-Ong bukan pemain terbaru dalam Liga Malaysia (Liga M) yang menghabiskan masa lima tahun di Eropah sebelum menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim musim ini.

Namun, hanya selepas empat perlawanan bersama JDT termasuk penampilan pertama di Piala AFC, pertahanan kelahiran London itu dilihat cepat menyesuaikan diri dengan corak bola sepak Malaysia.

Kelebihan itu dilihat menjadi faktor Corbin-Ong yang dibesarkan di Kanada oleh bapanya dari Barbados dan ibu kelahiran Malaysia bakal dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa bulan depan.

Bagaimanapun, Corbin-Ong mengakui mahu lebih memberi fokus terhadap kelabnya sebelum memikirkan langkah seterusnya selepas ini.

"Fokus utama saya sekarang ini adalah kepada JDT dan cuba membentuk permainan terbaik bersama pasukan.

"Apa yang akan hadir selepas ini, saya akan ambil selangkah demi selangkah," kata Corbin-Ong, 26, yang menyertai JDT daripada kelab divisyen dua Belanda, Go Ahead Eagles.

"Liga ini mempunyai standard yang berbeza daripada apa yang saya lalui sebelum ini, hanya berbeza dari segi corak permainan.

"Sukar untuk dibandingkan dengan liga lain kerana saya baru di sini dan saya hanya bermain tiga perlawanan, saya masih cuba menyesuaikan diri dengan gaya permainan, rakan sepasukan dan pemain lawan."

Sekiranya Corbin-Ong membuat penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan, dia akan menjadi pemain naturalisasi keenam yang mewakili Malaysia selepas Matthew Davies, Darren Lok, Brendan Gan, Kiko Insa dan Khair Jones.

Buat masa ini, Corbin-Ong menikmati bola sepak di JDT bersama jurulatih Ulisses Morais selepas beraksi di liga peringkat kedua Jerman dan Belanda.

"JDT kelab yang luar biasa, saya tidak pernah berada di kelab dengan kemudahan yang hebat dan ia bukti jelas mengenai apa yang mereka mahu capai," kata Corbin-Ong.

Sumber:BH Online