Cuaca Sejuk Mungkin Berulang Di Semenanjung Malaysia


KUALA LUMPUR - Cuaca sejuk di beberapa kawasan di negara ini adalah fenomena sementara tetapi keadaan itu boleh berulang jika angin sejuk monsun timur laut dari Siberia, China melalui Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Alui Bahari, berkata cuaca sejuk dan kabus tebal di negeri Pantai Timur, pedalaman Kedah dan utara Perak kembali normal sejak 12 Februari dengan bacaan suhu minimum harian di stesen Meteorologi mencatatkan suhu 20 darjah celsius ke atas.

Katanya cuaca sejuk ini mungkin boleh berulang pada Februari tahun depan jika berlaku pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur laut dari China dan langit tidak berawan pada waktu malam.

"Secara klimatologi, Februari adalah tempoh suhu minimum harian yang terendah berbanding bulan lain di negeri pantai timur, pedalaman Kedah dan utara Perak," katanya.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini bahawa Kuala Krai pada 11 Februari lalu mengalami cuaca luar biasa dengan mencatatkan suhu suhu terendah iaitu 18.4 darjah Celsius.

Alui berkata cuaca sejuk yang berlaku dari 9 hingga hingga 11 Februari di Kelantan turut dirasai di Terengganu dan Pahang selain kawasan pedalaman Kedah dan utara Perak.

Sementara itu, Alui berkata MET Malaysia dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran jika berlaku kabus tebal akibat cuaca sejuk dan laut bergelora yang menyebabkan tidak selamat untuk aktiviti pergerakan pengangkutan di laut dan udara.

"Maklumat mengenainya akan disalurkan kepada orang ramai dan pihak yang berkaitan antaranya Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berulangnya Taufan Tembin yang melanda Filipina pada Disember tahun lalu dan kesannya kepada Sabah, Alui berkata pada ketika ini ada satu siklon tropika iaitu Ribut Tropika Sanba di tenggara Filipina.

"Justeru itu, MET Malaysia akan mengeluarkan amaran cuaca dari semasa ke semasa untuk negeri Sabah sekiranya hujan lebat dan angin kencang diramalkan berlaku di negeri itu," katanya. - BERNAMA