KOTA BHARU - Tindakan penyeludup cuba meloloskan diri selepas terserempak pihak berkuasa ketika membawa masuk Pendatang Tanpa Izin (Pati) warga Mnyamar ke negeri ini berjaya dihalang penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan dalam satu serbuan kelmarin.
Dalam operasi sekitar jam 5 pagi itu, anggota penguatkuasa terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di kawasan Tendong Pasir Mas dan menghala ke bandar itu.
Pasukan penguatkuasa mengekori kenderaan itu sehingga ke bandar Pasir Mas.
Pemandunya bagaimanapun cuba melarikan diri dan memecut laju kenderaan itu sebelum ia terbabas ketika sampai di selekoh.
Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya berjaya menahan kenderaan terbabit bersama 13 Pati di dalamnya.
Bagaimanapun pemandunya berjaya meloloskan diri selepas kenderaan itu terbabas.
“Kesemua Pati berkenaan berusia antara 20 hingga 30an selain seorang bayi.
“Kita serahkan kereta yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen Kelantan untuk tindakan susulan," katanya.
Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan berhubung penyeludupan Pati di negeri ini.
“Kita percaya Pati ini diseludup masuk melalui bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur," katanya.
Menurutnya beliau juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha atau pengendali bas yang turut terlibat dalam penyeludupan Pati dan bersekongkol dengan pihak berkenaan.
Sumber: Sinar Harian