CUEPACS Minta Kecuali GST Untuk Rumah Pertama


KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) menggesa kerajaan mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap pembelian rumah pertama yang dilakukan penjawat awam dan individu berpendapatan rendah.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata ia membabitkan semua jenis rumah termasuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M); Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA); Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) dan pembinaan rumah sendiri.

Beliau berkata, GST perlu dimansuhkan memandangkan lebih 50 peratus atau antara 800,000 hingga 900,000 daripada 1.6 juta penjawat awam yang masih tidak memiliki rumah.

"Ia membabitkan golongan muda yang berusia antara 25 hingga 35 tahun yang kebanyakan berpendapatan RM3,000 ke bawah tidak mampu membeli rumah yang berharga sekitar RM150,000 hingga RM300,000.

"Kita minta kerajaan kecualikan GST untuk pembelian dan pembinaan rumah pertama kepada penjawat awam dan juga rakyat berpendapatan rendah.

"Ia bagi menggalakkan golongan muda ini memiliki rumah sejak usia remaja lagi kerana kebiasaan pembiayaan pinjaman mengambil masa dalam tempoh 30 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran CEUPACS di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), di sini, hari ini.

Ahli panel dialog menampilkan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Pengarah Unit Khas TN50 Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk V Valluvan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Pada masa sama, Azih meminta kerajaan membina lebih banyak rumah berharga RM150,000 bagi memberi peluang kepada semua rakyat memiliki kediaman sendiri. 

Sumber: BHOnline