Dapat Bantuan ATM Demi Pastikan Kelancaran PRU14


ALOR SETAR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditugaskan untuk membantu memastikan proses sebelum, semasa dan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti berjalan lancar.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata, ATM komited akan membantu meningkatkan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai bersama pihak polis  agar menjamin tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang PRU14.

Johari berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang ihsan banjir bagi daerah Kubang Pasu di Dewan Tunku Anum di Jitra , semalam. 

Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Dalam program tersebut, dianggarkan kira-kira 500 mangsa banjir di daerah Kubang Pasu menerima bantuan sebanyak RM500 setiap keluarga bagi meringankan beban yang ditanggung akibat banjir yang berlaku pada September dan Oktober 2017.

Mohd Johari yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu berkata ATM mempunyai aset canggih yang boleh digemblengkan bagi memastikan kelancaran PRU14 sekiranya berlaku bencana alam di kawasan pedalaman.  - Kedahnews.com