BAGI menyempurnakan akhlak yang mulia, pegangan agama dapat mendidik dan memurnikan akhlak seseorang. Tanpa agama seseorang itu tidak mempunyai panduan hidup yang jelas dan lurus.
Pendidikan hati dan jiwa dengan akhlak yang baik akan memandu kepada kesejahteraan hidup. Islam mendidik umatnya ke arah keluhuran dan kemuliaan akhlak dan budi pekerti.
Setiap agama juga mendidik dan mengelakkan seseorang daripada terjebak dalam kancah maksiat dan juga gejala sosial yang boleh merosakkan akhlak dan tamadun manusia.
Akhlak akan membentuk diri kepada beriman. Antara cici-ciri orang beriman adalah sentiasa sujud kepada ALLAH SWT, sentiasa mengingati ALLAH, tidak bersifat takbur, cintakan ilmu dan takwa, menginfakkan harta pada jalan yang diredai ALLAH. Ingatlah, orang beriman adalah kekasih ALLAH.
Lantaran itu, pendidikan agama menjurus kepada keimanan dan mestilah berteras dan bertunjangkan akidah, ibadah ke arah pembentukan akhlak. Proses pendidikan Islam mestilah melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan berterusan.
Pendidikan Islam bertanggungjawab secara terus untuk membangunkan rohani individu yang juga merupakan aspek penting dalam keseimbangan diri setiap manusia khususnya pelajar.
Umat Islam dilarang mempersendakan agama. ALLAH menjelaskan dalam Surah Al-An’am ayat 70.
Sinar ilmu pengetahuan akan diperoleh hanya dengan usaha gigih dan pemikiran jernih agar cahaya pemahaman memenuhi seluruh kalbu. Melalui pendidikan, pembacaan dan pembelajaran akan memperjelaskan ilmu yang dipelajari. Falsafah budaya ilmu dapat mendidik akhlak seseorang ke arah akhlak yang terpuji.
Kepentingan akhlak
Keutamaan akhlak yang tinggi dan mulia itu sumbernya adalah takwa. Takwa adalah taat kepada ALLAH yang menjadi asas yang kukuh iaitu sifat-sifat utama ke arah mencintai dengan taat kepada-Nya. Menjauhi diri daripada segala keburukan iaitu segala sifat yang rendah budi dan hina. Orang yang bertakwa mengetahui Islam adalah sumber daripada akhlak yang baik.
Justeru, ketinggian dan keelokan akhlak mestilah melalui pendidikan yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Falsafah pendidikan Islam juga sangat menekankan keempat-empat unsur ini diperkukuhkan dan diseimbangkan melalui pendidikan di rumah dan di sekolah.
Unsur Intelek penting untuk mewujudkan manusia yang berilmu, cintakan ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Rohani merujuk kepada jiwa insan, kalbu dan suara hatinya menimbulkan kesedaran dan rasa simpati dan seumpamanya. Emosi menekankan perasaan cinta dan kasih sayang. Sementara unsur jasmani memberi penekanan kepada kecergasan dan kesihatan mental dan fizikal. Insan yang seimbang dan harmonis akan mempunyai akhlak yang baik.
Agama adalah kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerima ajaran dan perintah-Nya. Orang yang beragama iaitu mempunyai agama, menganut sesuatu agama mengikut kepercayaannya.
Sifat terpuji
Islam menitikberatkan perintah supaya berpegang pada addin-Nya. Oleh itu, luangkan masa untuk mempelajari agama yang dapat membentuk akhlak dan budi pekerti ke arah kebaikan dan ketakwaan. ALLAH berfirman: “Untuk orang-orang yang bertakwa kepada ALLAH pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (Surah Ali Imran: 15)
Menurut Imam Al-Ghazali: “Pendidikan akhlak akan dapat memperindah peribadi dan memperluaskan budi pekerti serta dapat mendekatkan diri kepada ALLAH dan mencapai tingkat kemuliaan. Kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, Apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu.”
Jelaslah, agama membentuk akhlak dan akhlak membentuk ketakwaan. Proses ini mestilah berjalan seiringan dan berterusan dalam kehidupan. Melaluinya akan melahirkan sifat-sifat mulia, pemurah, berani, adil, memelihara diri, menepati janji, penyayang, pemaaf, sabar, jujur, kuat kemahuan dan berperikemanusiaan.
Menurut tokoh pendidik Islam, Dr Omar Al-Syaibani beberapa prinsip asas ke arah keberkesanan PdP dalam Islam, iaitu guru mestilah mengetahui motivasi, keperluan dan minat belajar, tujuan belajar, kematangan pelajar, perbezaan individu antara pelajar, memerhatikan kefahaman dan mengetahui hubungan, integrasi pengalaman dan kebebasan berfikir.
Selain itu, keberkesanan dalam PdP dalam Islam juga mestilah menekankan ke arah menguasai maklumat, menguasai kemahiran, meningkatkan minat, dan membentuk sikap yang baik. Pendidikan Islam merupakan usaha seseorang itu untuk mempelajari pengetahuan dan berusaha meningkatkan amalan diri melalui ilmu yang dipelajari.
Contohi Nabi
Sementara menurut tokoh pendidik, Profesor pendidikan Dr Hassan Langgulung, pengajaran agama bukan hanya menyentuh aspek kognitif sahaja. Kandungan yang menyentuh aspek kognitif dalam Pendidikan Islam adalah seperti fakta sejarah, syarat sah solat, zakat, puasa, dan haji. Semua perkara ini adalah fakta yang tidak berubah.
Kaedah pengajaran yang digunakan sama dengan kaedah yang digunakan dalam pembelajaran disiplin ilmu yang lain. Pendidikan akhlak adalah asas penting yang dapat membina minda dan sahsiah serta peradaban ummah yang mulia dan tinggi.
Konsep pendidikan akhlak dalam al-Quran bertujuan membentuk budi pekerti dan akhlak yang mulia dalam hati dan jiwa manusia. Pendidikannya mestilah bermula sejak usia manusia di peringkat tamyiz atau akil baligh sehingga ia menjadi mukalaf dan meningkat dewasa.
Sifat dan akhlak Nabi SAW mestilah menjadi pedoman setiap insan Muslim. Sifat dan akhlak Baginda SAW penuh dengan keluhuran dan kemuliaan sehingga jika berpegang teguh dengan keindahan budi baginda tersebut maka akan bahagia dan sempurnalah kehidupan seseorang.
Rasulullah SAW selalu mengamalkan doa, agar terhindar daripada akhlak yang mungkar. Doanya berbunyi: “Ya ALLAH, sebagaimana Engkau menjadikan badanku baik, maka jadikan pula akhlakku baik, ya ALLAH jauhkan aku daripada akhlak yang mungkar, ya ALLAH tunjukkan kepadaku akhlak yang terbaik kerana hanya Engkaulah yang menunjukkan kepada akhlak yang terbaik.”
Ingatlah, kekuatan doa dapat menghindarkan segala keburukan yang akan berlaku. Mendoakan kebaikan akhlak adalah dituntut supaya dijauhkan segala akhlak yang tidak baik. Hanya ALLAH akan menunjukkan jalan ke arah akhlak yang baik.
Selama manusia ada, selama itu pula ada manusia yang tidak berakhlak. Oleh itu, sebagai manusia yang beriman dan berakhlak kita semua patut berusaha menegur, mendidik dan membimbing manusia yang tidak berakhlak supaya sentiasa berakhlak baik.
Sesungguhnya, Islam dapat membentuk akhlak yang baik sejak zaman berzaman. Hanya manusia yang sering mengabaikan ajaran dan didikan agama Islam tidak dapat dibentuk akhlaknya.
Sumber: Sinar