Disiplin Fathia Bukan Isu Besar – Penerbit


KUALA LUMPUR: Ketika tiada pihak dikatakan berani menawarkan peluang lakonan kepada aktres sensasi, Fathia Latiff, penerbit drama, Fadzil Teh, pula bersikap terbuka apabila bersedia menggunakan khidmat berlakon terbabit dalam terbaru keluarannya berjudul Anugerah Cinta Aisyah.

Fadzil berkata, masalah disiplin yang sering dikaitkan dengan Fathia bukanlah isu besar baginya berikutan beliau juga berdepan dengan perkara sama membabitkan pihak lain, termasuk artis dan kru.

“Benar, saya tawarkan dia (Fathia) peluang berlakon untuk drama baharu syarikat saya, Anugerah Cinta Aisyah.

“Saya juga tidak ada masalah dengan kontroversi yang terpalit pada Fathia. Apa yang penting, dia mampu memberikan hasil lakonan yang terbaik. Tidak salah untuk kita memberi peluang kepada dirinya.

“Setakat isu disiplin masa, hampir semua orang dalam produksi ada masalah sama. Setakat ini, belum pernah lagi drama yang membabitkan Fathia mendapat ‘rating’ rendah,” kata penerbit daripada syarikat Zeel Production itu kepada BH Online.

Beberapa bulan lalu, bintang yang mencipta populariti menerusi drama Ariana Rose itu menjadi bualan netizen apabila video menerusi aplikasi Bigo Live dibuat oleh pelakon, Natasha Elyzza, yang memaparkan dirinya sedang menari hingga mendedahkan sebahagian payu daranya tular.

Ketika berdepan episod memalukan itu, Fathia sekali lagi diuji apabila namanya didakwa digugurkan daripada produksi drama, La Luna, ekoran masalah disiplin.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Fathia memuatnaik perkongsian di Twitter dengan meluahkan rasa gembira apabila mendapat tawaran berlakon drama 13 episod.

Sementara itu, Fadzil berkata, beliau sememangnya mencadangkan nama Fathia bagi menggalas watak utama, Ustazah Aisyah, kepada pihak RTM sebelum insiden kontroversi terbabit berlaku, sekitar September tahun lalu.

Sedar stesen televisyen terbabit cukup peka dan tegas, Fadzil mengambil pendekatan untuk mencari pengganti Fathia, namun tiada seorang pun yang sesuai membawakan watak itu.

“Risau juga jika nama Fathia tidak diterima. Jadi, saya mengadakan uji bakat bagi mencari pengganti. Malangnya, tiada yang sesuai.

“Minggu lalu, saya ke stesen itu semula bagi mengesahkan barisan pelakon drama ini dan nama Fathia juga lulus. Malah, dia tidak digam seperti yang diperkatakan segelintir pihak sebelum ini.

“Jadi, saya terus menghubungi Fathia untuk menawarkan watak itu kepadanya. Saya tidak kisah dengan pandangan dan kecaman netizen. Saya sayangkan bakat Fathia. Saya yakin apabila kita selalu beri peluang kepadanya, dia akan berubah,” katanya.

Drama Anugerah Cinta Aisyah turut dibintangi oleh Idris Khan dan penggambaran bakal diadakan pada bulan depan.

Sumber-Bharian