ALOR SETAR - Gandingan bersama pemain sayap sensasi Indonesia, Andik Vermansyah dalam pasukan Kedah mencetus inspirasi dan motivasi baru buat pemain muda, Akhyar Rashid yang bertekad menggempur kubu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.
Penampilan kedua-dua pemain yang digelar 'Double A' iaitu Andik dan Akhyar yang beraksi sewaktu Kedah menentang PKNP FC pada 11 Februari lalu berjaya menambat hati penyokong Helang Merah dengan aksi pantas dan bertenaga melaui gerakan yang berjaya mencemaskan benteng lawan.
Bagi Akhyar, kehadiran Andik yang lincah dan pantas itu telah menyuntik semangat serta inspirasi baru buat dirinya untuk terus berganding bahu bersama rakan sepasukannya itu dalam aksi penting memburu tiga mata di Shah Alam.
"Saya kini bertambah motivasi dan lebih bersemangat melihat kelicikan Andik melakukan gerakan dan beraksi di ruang sayap dan ini juga masa terbaik bagi saya untuk turut membuktikan peningkatan persembahan ke tahap lebih tinggi.
"Kelajuan dan kelicikan kawalan bola Andik menjadi inspirasi untuk saya dan seterusnya menjadi perangsang untuk saya tingkatkan prestasi diri saya pada musim ini.
"Selain itu saya juga yakin dengan tunjuk ajar semua pemain termasuk pemain senior seperti Baddrol Baktiar, Khairul Helmi, Syazwan Zainon mampu menambahkan keyakinan saya dalam setiap perlawanan ditempuhi," katanya memetik BH Online.
Akhyar juga turut mengakui skuad kendalian Datuk K Rajagobal, PKNS FC merupakan pasukan hebat dengan diwakili pemain berpengalaman dan bukan satu pasukan mudah untuk Kedah hadapi.
"Kelebihan PKNS FC yang kini berada di kelompok atas carta liga dan dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan memang diketahui mempunyai reputasi tinggi namun kita akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan tiga mata di Stadium Shah Alam sebagai pembakar semangat baharu.
"Saya berharap motivasi dan persefahaman baik sebelum ini mampu menghasilkan kejayaaan untuk Kedah malam esok dan juga aksi Piala FA pertama menentang Negeri Sembilan pada 2 Mac nanti," ujarnya. - Kedahnews.com