Dr. Mahathir Masuk IJN Akibat Jangkitan Paru-Paru



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak malam tadi kerana jangkitan paru-paru susulan batuk berterusan.

IJN dalam kenyataan hari ini berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kini menerima rawatan di wad am.

Dr Mahathir dijangka berada di IJN untuk beberapa hari bagi membolehkan beliau menerima rawatan selain dipantau rapi.

Kenyataan IJN berkata, hanya ahli keluarga terdekat dibenar melawat.

Sebelum ini, PPBM menangguhkan program Dr Mahathir yang dijadualkan di Bentong hari ini atas nasihat doktor.

Menurut penyelaras program parti itu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, pengerusi parti berusia 92 tahun itu dinasihatkan doktor supaya berehat atas faktor kesihatan.

Sumber: BH