SIAPA pernah lupa perkahwinan gemilang artis wanita ternama Malaysia, Mazuin Hamzah dengan seorang kerabat diraja Brunei sekitar Disember 1987.
Perkahwinan hebat itu sekali gus mengangkat kedudukan Mazuin, manakala rekod perkahwinan beliau akan terus kekal sebagai sejarah dalam direktori industri hiburan.
Selepas bergelar isteri dan menetap di negara jiran itu, artis kelahiran Ipoh, Perak itu terus hilang dari radar industri hiburan.
Sudah beberapa kali usaha untuk menjejaki Mazuin dibuat, namun sukar untuk memperoleh akses mewawancara beliau.
Bagaimanapun entri terkini jutawan kosmetik popular, Datuk Seri Dr. Hazmiza Othman atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Vida mengenai Mazuin menarik perhatian Mega Hits.
Dr. Vida berkesempatan menemui Mazuin dalam satu acara tertutup di Singapura dan kesempatan itu diambil beliau untuk mendekati Mazuin, bekas anggota kumpulan Quinary M yang diasaskan dengan adik-beradiknya.
Menurut Dr. Vida, sebaik menyedari Mazuin turut hadir dalam acara itu, beliau mendekati penyanyi yang kini berusia 54 tahun bagi mengetahui perkembangan terkininya.
Kata Dr. Vida, sekalipun sudah berada pada kedudukan tersendiri, namun sifat rendah diri dan keramahan Mazuin begitu terserlah biarpun itu kali pertama mereka bertemu.
“Dia sangat berbudi bahasa, sopan dan sangat comel. Tubuhnya sangat kecil tapi anak-anak dia besar rupa-rupanya. Saya gembira sangat dapat bertemu dengan Mazuin,” kata Dr. Vida berkongsi pengalamannnya bertemu dengan penyanyi lagu Cinta Palsu itu dengan Mega Hits.
Dalam pertemuan singkat itu, Mazuin turut memperkenal anak lelakinya, Pengiran Muda Abdul Khaaliq kepada Dr. Vida.
Selain Pengiran Muda Abdul Khaaliq, Mazuin juga mempunyai dua orang lagi cahaya mata iaitu Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bulqiah dan Pengiran Anak Raafiah Amalul Bulqiah.
Sebagai wanita yang obses dengan kecantikan, Dr. Vida tidak melepaskan peluang bertanya kepada Mazuin bagaimana cara beliau mengekalkan bentuk badan dan kejelitaannya.
Menurut Dr. Vida, Mazuin ada berkongsi dengannya mengenai rutin hariannya menjalani senaman dengan berjoging.
“Dia (Mazuin) kata dia banyak bersenam, hari-hari dia joging, naik bukit, turun bukit. Patutlah Mazuin nampak cergas. Saya kagum dengan disiplin beliau,” cerita Dr. Vida lagi.
Sebagai seorang ahli perniagaan yang semakin serius dalam bidang nyanyian, Dr. Vida menyuarakan hasratnya untuk melamar Mazuin merakamkan lagu baharu seandainya artis itu berminat.
“Kalaulah Mazuin setuju, saya berhajat untuk melamar beliau merakamkan lagu atau mungkin juga album. Atau mungkin juga kami berduet dalam satu lagu. Saya memang meminati beliau sejak dulu lagi, jadi kalau dapat peluang bekerjasama alangkah bahagianya saya,” jelas Dr. Vida.
Seperkara lagi, Dr. Vida memberitahu, jika ada rezeki pada masa depan, beliau ingin bertemu dengan Mazuin lagi untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi.
Sumber -Utusan