Dua Pemain Badminton Tampil Bersama Peguam


SINGAPURA - Dua pemain badminton profesional Malaysia yang didakwa terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan hadir bagi sesi sebutan kes yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hotel Jen Tanglin di sini, pagi ini.

Kedua-dua pemain berkenaan tiba pada jam 9.30 pagi bersama peguam masing-masing.

Walaupun identiti mereka masih belum didedahkan oleh BWF namun dapat dilihat kelibat bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli dan bekas pemain skuad Piala Thomas 2010, Tan Chun Seang hadir pada sesi sebutan kes berkenaan.

Turut kelihatan bapa yang juga jurulatih kepada Zulfadli, Zulkifli Sidek. Bagaimanapun, tujuan kehadiran mereka pada sesi sebutan kes ini masih belum dapat disahkan. 

Bagaimanapun, tujuan kehadiran mereka pada sesi sebutan kes ini masih belum dapat disahkan. 

Sesi sebutan kes akan dikendalikan oleh panel bebas yang dilantik BWF. BWF bagaimanapun tidak mendedahkan identiti panel berkenaan.

Sesi sebutan kes akan berlangsung selama dua hari membabitkan kedua-dua pemain terbabit sehingga esok.

Wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra turut hadir sebagai pemerhati dan memaklumkan kepada pemberita yang membuat liputan yang beliau akan membuat kenyataan selepas tamat sesi sebutan kes hari ini.

Sesi sebutan kes yang bermula pada jam 10 pagi dijangka tamat pada jam 3 petang ini. Pada 13 Februari, dalam satu laporan eksklusif Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional sedang disiasat BWF atas dakwaan mengatur perlawanan.

BAM kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai mana-mana kejohanan oleh BWF.

Sumber: BH Online