Ejen Bola Sepak Tipu Remaja Afrika


TEMERLOH - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memperdaya remaja warga Uganda kononnya untuk membolehkan mangsa bermain bola sepak di Sarawak, membabitkan kerugian RM3,000.

Suspek berusia 41 tahun yang juga ejen pemain bola sepak, ditahan di Taman Bukit Mentakab di sini, pada jam 6.11 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata siasatan awal mendapati remaja berusia 19 tahun itu menyerahkan wang RM3,000 kepada suspek di hadapan sebuah bank di Mentakab pada 13 Februari lalu.

"Bagaimanapun, selepas menyerahkan wang berkenaan, mangsa gagal menghubungi ejen berkenaan, lalu membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi.

Mohd Wazir berkata, hasil semakan dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak mendapati tiada sebarang tawaran pemain luar dibuat atas nama mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: BH Online