Ekspo Muafakat Kedah Dapat Sambutan Menggalakkan


ALOR SETAR - Ekspo Muafakat Kedah 2018 membuka tirai penuh meriah semalam dan mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 10,000 orang mengunjunginya selepas tiga jam dibuka secara rasmi pagi semalam.

Program itu yang akan berlangsung hingga 3 Mac ini menampilkan 20 kluster disertai 199 jabatan serta agensi Kerajaan Pusat dan negeri, selain sektor swasta.

Ekspo julung kali itu mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri dan perancangan untuk seluruh rakyat Kedah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung, ekspo lapan hari itu adalah yang terbesar dan paling lama dianjurkan dalam sejarah negeri Kedah.

Berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari hingga 3 Mac depan, program dirancang untuk memenuhi keperluan dan aspirasi segenap lapisan masyarakat.

Setiap kluster berkenaan mendekatkan semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di Kedah untuk berada di bawah satu bumbung.


Ekspo itu menjadi medium terbaik untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan, anak muda menterjemahkan aspirasi, dan masyarakat memberi pandangan mengenai pembangunan negeri.

Ia turut menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya temu duga kerja, peluang melanjutkan pelajaran, penjualan hartanah, jualan murah untuk barangan keperluan asas, pameran dan jualan produk usahawan tempatan pada harga yang istimewa.

Antara tarikan utama adalah jualan 6,000 unit hartanah di seluruh Kedah membabitkan agensi kerajaan dan pemaju swasta, yang ditawarkan pada harga diskaun.

Kluster yang terbabit ialah Pameran Diraja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistic, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah serta 'Petting Zoo'.

Ekspo Muafakat Kedah 2018 juga mencatat sejarah tersendiri apabila sebuah rumah ditawarkan sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung, di samping pelbagai hadiah menarik lain seperti kereta dan motosikal.

Selain itu, program dimeriahkan dengan pelbagai acara, termasuk temu duga kerja, peluang melanjutkan pelajaran, tawaran menarik hartanah, jualan murah barangan keperluan asas, pameran dan jualan produk usahawan tempatan pada harga istimewa.

Antara tarikan utama ialah jualan 6,000 unit hartanah di seluruh Kedah membabitkan agensi kerajaan dan pemaju swasta, yang ditawarkan pada harga diskaun menarik.

Pegawai dari Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan juga mengambil bahagian untuk memudah cara pengunjung yang mencari rumah idaman mereka.

Tidak ketinggalan ditampilkan usahawan pelbagai bidang seperti trak makanan dan juadah popular Kedah, sekali gus membuka ruang golongan tempatan itu mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka.

Selain itu, ekspo tersebut juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan serta selebriti popular seperti Fattah Amin, Fizo Omar, Rozita Che Wan serta Janna Nick.

Malah, pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk rumah, kereta dan motosikal. - Kedahnews.com