#EkspoMuafakatKedah: Bukan 1, Tetapi 2 Unit Rumah Bakal Di Menangi Pengunjung


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah telah menawarkan hadiah dua unit rumah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) bernilai lebih RM100,000 kepada pengunjung bertuah sempena Ekspo Muafakat Kedah yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman.

Dua unit rumah tersebut adalah antara hadiah utama cabutan bertuah daripada 100 hadiah yang bernilai lebih RM1 juta yang ditawarkan ketika ekspo itu berlangsung mulai 24 Februari hingga 3 Mac depan.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah (UPEN) Muhamad Mahazi Ibrahim berkata, selain rumah, turut ditawarkan tiga kereta Haval, Perodua Bezza dan Perodua Myvi selain lima motosikal Modenas.

"Hadiah utama ini semuanya hasil cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahu memberikan kelainan kepada ekspo terbesar yang pernah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah," katanya memetik BH Online.

Tambah Muhamad Mahazi, cabutan bertuah akan dilakukan dua kali sehari sepanjang ekspo itu berlangsung iaitu pada jam 1 dan 6 petang yang menawarkan pelbagai hadiah berupa barangan elektronik dan gajet.

Menurut Muhamad Mahazi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menyampaikan hadiah kereta itu kepada pengunjung bertuah pada majlis penutup pada 3 Mac.

Katanya, setiap pengunjung layak untuk menyertai cabutan bertuah asalkan mereka melawat kesemua 20 kluster di tapak ekspo berkenaan.


"Pengunjung perlu mendaftar terlebih dahulu untuk mendapatkan buku pasport, kemudian perlu melawat 20 kluster dan dapatkan cop di kluster.

"Sesiapa sahaja layak mendapatkan pasport itu, walaupun rakyat negeri lain yang berkunjung ke sini, setelah mereka melengkapkan cop di kluster, maka mereka layak untuk menyertai hadiah cabutan bertuah," katanya.

Beliau berkata ekspo itu bertujuan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan negeri menerusi acara dan program yang disusun.

Sementara itu, pasangan muda atau individu yang masih mencari kediaman idaman, Ekspo Muafakat Kedah adalah tempat terbaik untuk dituju kerana terdapat 6,462 unit hartanah yang ditawarkan pada harga diskaun sehingga 20 peratus.

Bagi seorang pengunjung yang bertuah adalah Syed Farhan Afis Syed Mustapha, 31, teruja apabila ditawarkan rumah idamannya pada potongan harga 30 peratus menerusi skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Syed Farhan yang mendirikan rumah tangga bersama Tengku Intan Safura Tengku Mahmud, 35, tiga tahun lalu, sememangnya sedang mencari rumah.

Bagaimanapun, dia mengakui agak susah untuk mendapatkan rumah idaman pada harga yang sesuai dengan bajetnya.

"Jadi apabila adanya ekspo ini, saya bersama isteri tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini dan melihat tawaran perumahan yang disediakan kepada orang ramai, khususnya penjawat awam.

"Alhamdulillah, saya menemui rumah idaman lot tepi berharga RM385,000 di Kubang Rotan dengan tawaran diskaun sebanyak 30 peratus berbanding harga pasaran," ujarnya. - Kedahnews.com