Empat Perkara Ini Mesti Anda Buat Jika Ke Bangkok


BANGKOK, Thailand adalah kota yang boleh dikunjungi untuk menghabiskan cuti hujung minggu.

Ini kerana kedudukannya yang terlalu hampir dengan negara kita.

Hanya lebih kurang dua jam saja menaiki kapal terbang, Bangkok sudah mampu anda jejaki.

Tak perlu pening-pening mahu mencari lokasi menghabiskan cuti hujung minggu, kerana Bangkok adalah pilihan terbaik!

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan jika benar-benar mahu menikmati keseronokan kota yang tidak pernah tidur ini.

Penulis ingin berkongsi empat perkara yang mesti dibuat di Bangkok.

Beli belah di butik NaRaYa


Produk jenama NaRaYa meliputi pelbagai barangan kraftangan termasuk beg popular, dekorasi kediaman, produk kanak-kanak, produk bermusim, tempat simpanan alat tulis dan aksesori.

Ole-ole dari Bangkok, produk NaRaYa.


Bukan sekadar kraftangan biasa tetapi produk NaRaYa ini dibuat oleh kumpulan buruh berkemahiran dari beberapa  wilayah di luar Bangkok.

Buatannya halus dan kemas serta harga yang sangat berpatutan sesuai untuk dijadikan cenderahati bagi keluarga atau rakan di Malaysia.

Produk yang sudah berada di pasaran Thailand sejak 1989 ini boleh didapati di 23 cawangan di seluruh Thailand dan 13 cawangan luar negara itu.

Makan pencuci mulut Thai


Thailand memang terkenal dengan makanan yang enak terutama pencuci mulut yang dihasilkan 'bukan hanya indah pada rupa' tetapi juga 'indah pada rasa'.

Comel dan sayang nak makan, Luk Chup.

Pelbagai jenis bubur dijual di Plaza Old Siam.

Khanom Buang (sejenis krep dengan pelbagai inti termasuk krim kelapa, kelapa parut), Luk Chup (marzipan pelbagai bentuk comel dengan inti kacang hijau), Kao Niew Ma Muang (pulut mangga) dan pelbagai jenis bubur adalah antara pencuci mulut yang boleh dicuba jika ke Bangkok.

Ada beberapa lokasi yang mudah untuk mendapatkan makanan enak ini termasuk Plaza Old Siam, Pusat Beli Belah MBK Center dan Platinum Mall.

Kunjungan wajib ke Asiatique


Menghadap keindahan Sungai Chao Phraya, pusat beli belah terbuka Asiatique adalah satu lokasi wajib dikunjungi jika ke Bangkok.

Bekas limbungan ini dijadikan kawasan beli belah dengan menempatkan lebih gerai dan kedai menjual cenderahati, makanan dan pakaian.

Lebih menarik, hanya 100 meter di hadapan Asiatique terletak Masjid Bang Uthit.

Di Asiatique sendiri, ada beberapa kedai makanan halal dan jika tidak mahu menjamu selera di situ, pengunjung juga boleh ke Medan Selera di sebelah masjid yang turut menempatkan beberapa gerai peniaga Muslim.

Jika mahu mencuba pelbagai 'street food' halal, Jalan Charoen Krung adalah tempatnya kerana di hadapan Masjid Bang Uthit terdapat ramai peniaga Islam menjual makanan tempatan seperti sate, nasi kuning, nasi daging, somtam, kerabu mangga dan laksa Siam.

Sutera Thai, ole ole dibawa pulang


Umpama lagu dan irama, demikianlah halnya sutera dan Thai.

Bukan hanya menghasilkan kain sutera, industri membabitkan sutera berkembang di Negara Gajah Putih ini termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Sutera di Universiti Kasetsart bagi membuat penyelidikan dalam bidang membabitkan penghasilan sutera.

Sejarah perkembangan kain sutera bermula apabila ahli perniagaan Amerika Syarikat, Jim Thompson memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa sekitar 1950 an dan 1960 an.

Kualiti kain sutera bergantung kepada banyak faktor termasuk ulat yang menghasilkan benang sutera.

Jika mahukan sutera yang berkualiti tinggi boleh kunjungi Butik Jim Thompson dan Queen Thai Silk.

Atau ke pusat beli belah seperti MBK Center dan Plaza Old Siam.

Pasar hujung minggu Chatucak juga ada  menjual sutera dengan harga agak murah.

Tetapi perlu berhati-hati kerana ada juga kain sutera yang murah bukannya 100 peratus asli tetapi campuran.

Sumber: Mstar Online