KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017 yang akan berlangsung Khamis ini.
Badan induk bola sepak negara diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu diiktiraf sebagai penerima anugerah tersebut berdasarkan pencapaian cemerlang tiga skuad muda negara tahun lalu yang melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Tiga skuad berkenaan adalah pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee diikuti pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) yang dibimbing Bojan Hodak dan pasukan Bawah 16 Tahun (B-16) di bawah Lim Teong Kim.
Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa dalam satu kenyataan hari ini, berkata pemilihan FAM diputuskan berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa pelbagai program pembangunan bakat muda yang diusahakan persatuan itu kini nyata di landasan tepat.
“Pencapaian itu wajar diakui kerana ia peningkatan yang ketara setelah sekian lama bola sepak negara tidak berjaya untuk kerap beraksi di peringkat tinggi sebegitu.
“Saya percaya pengiktirafan yang diberikan kali ini akan menjadi penjana kepada usaha lebih mantap daripada FAM untuk menggapai misi jangka panjang meletakkan bola sepak negara di tahap yang layak dibanggakan semua,” katanya.
Pada masa sama, Khawari berkata pengiktirafan itu juga hadir berdasarkan usaha gigih FAM dalam mencipta gelombang perubahan baharu secara komprehensif daripada segi penganjuran kejohanan dan pendidikan kejurulatihan.
“Antara transformasi yang sedang giat diusahakan FAM kini termasuklah memperkemaskan program kejurulatihan, pencarian bakat serta penganjurang liga di peringkat negeri selain menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang menjadi kilang penghasilan bakat-bakat muda secara berterusan,” jelas beliau.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS di sebuah hotel di Petaling Jaya, itu menjadi platform pengiktirafan terbaik kepada seluruh warga sukan negara setelah rentetan pencapaian hebat atlet negara dan pemegang taruh lainnya dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang 2017.
Atlet terbaik akan bersaing untuk dua kategori anugerah utama – Atlet Terbaik SAM-100Plus 2017 dan Atlet Para Terbaik 2017 – sementara warga kewartawanan sukan negara turut diberi pengiktirafan menerusi tujuh kategori anugerah yang dipertandingkan.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi. – Bernama