KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap cadangan untuk melakukan ujian doping secara rawak membabitkan perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia perlu dipertimbangkan.
Katanya, ujian doping itu dilihat antara mekanisme baharu dalam mendidik pemain muda mengenai kesedaran bahaya penggunaan bahan terlarang.
"Ia cadangan yang baik dan boleh dikaji sebelum pelaksanaannya dibuat. Ketika ini ujian doping dilakukan dalam perlawanan Liga Super dan Liga Perdana secara rambang tapi mungkin kita boleh mulakan langkah lebih proaktif dengan mekanisme yang sesuai.
"Cadangan itu boleh dipertimbangkan kerana saya fikir ia boleh mengajar pemain lebih berdisiplin, pemain dididik lebih awal supaya tidak terjebak dengan sebarang penggunaan bahan terlarang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
"Untuk melakukan doping, kita memerlukan kerjasama dengan agensi berkaitan dan ia juga membabitkan kos, jadi semua perkara ini perlu diambil kira terlebih dulu," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Cadangan supaya FAM melakukan ujian doping bagi perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia disuarakan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee susulan kes terbaru membabitkan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi.
Syihan yang bersama skuad muda negara ke Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Changshu, China bulan lalu disahkan positif bahan terlarang metabolite methandienone menerusi ujian sampel A dilakukan selepas perlawanan Kumpulan C menentang Iraq pada 10 Januari lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu tidak beraksi dalam empat perlawanan dilalui skuad negara di sana dan kini digantung 60 hari daripada sebarang aktiviti bola sepak sementara menunggu keputusan ujian sampel B.
Menurut Yusoff yang juga pengurus pasukan B-23, kes Syihan itu adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan setiap pemain sentiasa diingatkan apabila bersama pasukan.
"Saya harap pemain lebih berhati-hati, jika mengambil sebarang ubat-ubatan atau makanan tambahan, perlu mendapat nasihat doktor. Sebagai pemain profesional, mereka perlu tahu menjaga pemakanan dan bukan hanya berlatih di dalam padang.
"Mungkin selepas ini kita akan melakukan ujian doping apabila pemain melaporkan diri apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat," katanya.
Sumber: BH Online