Fasha Teruja Bergandingan Dengan Aliff Syukri


AKTRES versatil, Fasha Sandha menyambut baik gaya pengarahan Datuk Professor Madya Dr A Razak Mohaideen menerusi filem terbaru arahannya, Badang.

Kata Fasha kepada Sinar Harian, pengarah berkenaan memberi kebebasan untuk dirinya dalam membentuk watak Tisya.

“Terlebih dulu, saya ingin rakamkan ucapan terima kasih buat Prof (Razak Mohaideen) yang kekal percaya dengan bakat lakonan saya sejak 12 tahun lalu. Masih berminat untuk memanggil saya berlakon di bawah filem arahannya.

“Menerusi Badang, saya mendukung watak sebagai Tisya dan pastinya, rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan produksi yang kuat. Sebab Prof kalau buat sesuatu kerja, dia akan berikan komitmen 100 peratus. Seronok kerana kami di produksi sudah ibarat satu keluarga,” kata Fasha ketika ditemui si malam gala tayangan filem berkenaan di mmCineplex, eCurve Damansara, baru-baru ini.

Jelasnya aktres berusia 33 tahun ini lagi, dia turut teruja apabila digandingkan dengan pengasas kosmetik yang baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Datuk Seri Aliff Syukri.

“Bila berlakon bersamanya, saya okay sahaja sebab sebelum ini pun pernah bergandingan dengan hero baru. Bagaimanapun, kami saling membantu termasuklah para pelakon yang lain juga. Jujurnya, saya sendiri suka dengan karakter Tisya sebab dia lain daripada lain.

“Saya boleh lakukan apa yang dirasakan sesuai kerana Prof memberi kepercayaan untuk membentuk watak tersebut. Dia berikan kebebasan untuk berkarya,” ujar Fasha yang turut mengakui personaliti Aliff Syukri yang tersendiri memberi kelainan terhadap keseluruhan jalan cerita filem terbitan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) itu.

Fasha juga turut memuji jutawan kosmetik itu.

“Pada awalnya, saya inginkan dia untuk beraksi macho. Saya kata boleh tak untuk jadi orang lain dalam Badang. Mula-mula dia okay namun lama kelamaan, sikapnya jadi macam biasa balik. Saya rasa hal itu menyeronokkan. Jadi saya buat cara sendiri dan dia buat cara dia.

“Tak bosan menonton Badang dan harapnya, semua dapat memberikan sokongan, bukan untuk mencari kesalahan dan sebagainya,” pohon Fasha yang turut membayangkan, Badang merupakan filem adiwira komedi yang menepati selera ramai, khasnya kanak-kanak.

Selain Fasha dan Aliff Syukri, Badang yang bakal menjengah pawagam pada 15 Februari depan ini turut dibarisi para pelakon lain seperti Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Azhari Zain dan ramai lagi.

Sumber-Sinar