Fernando Punca Diaz 'Angkat Kaki'


KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih kecergasan Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando didakwa menjadi punca utama Jorge Pereyra Diaz bertindak meninggalkan kelab itu secara mengejut, pada Ahad.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu video di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers, semalam mendakwa Fernando menjadi penghasut kepada Diaz hingga menimbulkan perbalahan antara pemain kelahiran Argentina itu dengan bekas jurulatih, Ulisses Morais.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, Fernando turut didakwa menjadi 'dalang' yang membawa kepada berlakunya masalah antara pemain dengan tiga jurulatih JDT sebelum ini termasuk Bojan Hodak, Mario Gomez dan Benjamin Mora.

"Morais ingin tinggalkan JDT sebab isteri beliau akan menjalani pembedahan kecil di Portugal, jadi beliau nak balik ke sana untuk jaga isterinya. Saya menghormati keputusannya, tapi ada lagi satu isu beliau ada bergaduh dengan Diaz sejak pramusim.

"Bila saya buat siasatan lebih terperinci, saya dapati masalah ini datang daripada jurulatih kecergasan yang bernama Fernando. Kalau anda tengok tiga jurulatih sebelum ini termasuk Hodak, Gomez dan Mora, mesti ada masalah dengan pemain.

"Apa yang terjadi, bila jurulatih (baharu) datang ke sini (JDT), mereka akan bawa kakitangan mereka sendiri termasuk jurulatih kecergasan dan pegawai fisioterapi.

"Jadi, Fernando rasa kurang senang, takut tempat beliau diambil orang lain dan beliau tiada kerja. Apa yang beliau buat, beliau menggunakan hubungan rapat dengan pemain untuk menyucuk (menghasut) pemain bagi memastikan pemain ada masalah dengan jurulatih," katanya.

Pengarah teknikal JDT, Alistair Edwards dalam kenyataannya, hari ini menjelaskan Diaz yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim 2016 didakwa meninggalkan hotel penginapan pasukan pada 12 tengah malam Ahad di Singapura sebelum pasukan itu berlepas ke Vietnam untuk aksi Piala AFC.

Selain itu, TMJ turut mengesahkan sudah memecat Fernando dan tindakan itu dianggap menjadi punca Diaz turut 'angkat kaki' dari kelab itu, baru-baru ini.

"Bila saya dapat tahu benda ini, saya cakap lebih baik kita buang orang ini (Fernando) sebab sudah banyak masalah dari dulu lagi, walaupun sudah bagi peluang kedua pun masih ada masalah.

"Selepas siasatan, saya pecat jurulatih kecergasan itu, saya bercakap dengan Alistair dan ketua pencari bakat dan wakil delegasi asing JDT, Martin Prest bahawa saya jamin pemain itu pun akan ikut.

"Ia kerana dia (hubungan mereka) amat rapat dan itu yang terjadi. Jadi bila saya pecat Fernando, pemain itu (Diaz) pun nak ikut, jadi saya ucapkan selamat berjaya," katanya.

Sumber: BH Online