‘Fitnah Dan Kerja Bodoh’


Sebelum ini ramai selebriti tempatan dikaitkan dengan berita mengatakan mereka meninggal dunia yang tular di media sosial.

Pelakon Sheila Mambo turut menjadi mangsa perbuatan orang tidak bertanggungjawab itu.

Baru-baru ini, tular cerita mengatakan dia meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan selepas membuat penghantaran tempahan pulut kuning.

Sheila berkata, dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada bapa saudaranya mengenai perkara itu.

“Dia beritahu berada di hadapan rumah untuk memastikan sama ada cerita itu benar atau sebaliknya.

“Saya terkejut dan bertanya dari mana dia dapat berita itu. Dia pun beritahu ada portal yang kongsikan di Facebook. Saya dan bapa saudara hanya ketawa dengan cerita tidak benar itu,” katanya.

Pelakon drama Andainya Takdir itu bagaimanapun bersyukur kerana berita berkenaan tidak sampai ke pengetahuan ibunya.

Bagaimanapun, Sheila berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Tidak kecewa dengan penularan cerita itu, Sheila bagaimanapun memohon individu terbabit tidak menjadikan isu sensitif untuk menarik pembaca dengan harapan mereka akan mengunjungi portalnya.

“Buang masa kecewa dengan individu yang buat kerja bodoh semata-mata mahu naikkan ‘viewer’. Suatu hari nanti, apabila khabar angin mengenai kematiannya yang tersebar, masa itu barulah dia rasa dan tahu.

“Ini satu fitnah, tapi lantaklah. Saya maafkan mereka. Saya tetap positif dan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesejahteraan saya,” katanya.

Bercerita mengenai perkara itu, Sheila berkata, dia memang terbabit dalam kemalangan, tetapi ia hanya kemalangan kecil dan tidak membabitkan kecederaan.

“Saya sebenarnya sedang membuat penghantaran pulut kuning yang sudah ditempah. Tiba-tiba ada kereta yang terlanggar kereta saya menyebabkan kerosakan pada cermin sisi.

“Saya menghentikan kenderaan di tepi jalan dan melihat kereta itu juga berhenti di hadapan saya. Dari jauh dia angkat tangan tanda meminta maaf. Kemudian dia tanya sama ada saya alami kecederaan atau tidak.

“Dia terus cakap untuk menanggung kos membaiki semula cermin itu. Dia ambil gambar kad pengenalannya dan hantar kepada saya. Dia juga mencadangkan bengkel untuk saya baiki kerosakan itu. Alhamdullilah, semuanya dipermudahkan,” katanya.

Dia kagum dengan keperibadian anak muda berbangsa Cina yang dikenali sebagai Joe itu.

Berani mengakui kesalahan, dia juga menjalankan tanggungjawab untuk menebus kembali kesilapannya.

Menurut Sheila, pemilik bengkel mengembalikan baki bayaran RM8. Dia menghubungi Joe untuk berjumpa kerana ingin memulangkan semula baki berkenaan namun lelaki itu enggan menerimanya.

Mungkin di mata orang lain nilai RM8 itu sangat kecil tetapi bagi Sheila, itu adalah tanda kebaikan Joe. Dia bangga dipertemukan dengan individu berhati baik.

Sumber -Hmetro