PETALING JAYA - Seorang bapa hanya ketawa ketika anak perempuannya yang berusia enam tahun berdepan detik 'cemas' apabila kanak-kanak itu jatuh parit dan badannya berlumuran lumpur.
Insiden yang menimpa Qisya Junaimanshahrill itu kini tular di laman sosial setelah dimuat naik oleh bapanya pada 3 Februari lalu.
Tidak cukup dengan mentertawakan anaknya, Junaimanshahrill Ab Rahman, 37, dilihat menyembur anaknya dengan getah paip, yang lagaknya tidak ubah seperti seorang pencuci kereta.
Junaimanshahrill telah memuat naik beberapa video sebelum dan selepas insiden itu berlaku berserta kapsyen: "Hari pertama belajar naik basikal tanpa roda bantuan...ke parit juga akhirnya."
"Sudah cakap, bukan tak cakap. Jangan salahkan 'coach' (jurulatih) ya. Jangan pertikaikan cara mandikan anak sebab dalam keadaan cemas. Sudah macam basuh kereta katanya," ujar penyelia kanan di sebuah syarikat swasta itu.
Kata bapa kepada tiga anak itu, dia berharap netizen agar tidak mudah menghakimi reaksi spontannya yang mentertawakan anak bongsunya itu sebaik kanak-kanak itu 'bermandi' lumpur.
Posting tersebut dikongsi sebanyak 15,885 kali dan menerima lebih 13,000 tanda suka (likes) di Facebook milik Junaimanshahrill.
"Saya gelak sebab masa dia jatuh tu, dia siap 'posing' betulkan badan macam orang terjun papan anjal sebelum 'dive' (terjun) ke dalam parit.
"Tapi, momen itu tak sempat dirakam. Kalau saya terus marah dia, mungkin dia akan fobia untuk naik basikal lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Tambah lelaki yang berasal dari Banting, Selangor itu, dia sebenarnya sudah berpesan beberapa kali kepada anaknya agar berhati-hati ketika menunggang basikal agar tidak jatuh ke dalam parit.
Namun, anak perempuannya itu semakin condong ke arah kiri jalan ketika mengayuh basikal sehingga menyebabkan hilang keseimbangan badan.
Tambah Junaimanshahrill, kedalaman lumpur parit itu hanya setinggi buku lali dan tidak mendatangkan bahaya kepada anaknya.
Ujarnya, insiden itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Qisya untuk terus berlatih tanpa menggunakan roda bantuan.
"Malam selepas kejadian tu, kami solat Maghrib sama-sama dan bila saya beritahu bahawa esok akan hujan dan mungkin dia tidak boleh berlatih naik basikal, dia terus berdoa agar hujan tidak turun.
"Itu tandanya dia tidak fobia dengan apa yang berlaku," katanya.
Sumber: Mstar Online