Guru Jadilah Pendidik Bukan Penyiasat, Hakim


KES bunuh diri seorang pelajar, M Vasanthapiriya, 14, selepas dikatakan malu dan tertekan kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang, mengejutkan banyak pihak.

Walaupun kes bunuh diri pelajar kita tidak membimbangkan, berita kematian pelajar itu menjadi tajuk utama media sosial dan cetak serta portal berita, malah topik perbincangan kedai kopi kerana nyawa seorang remaja perempuan melayang disebabkan telefon bimbit.

Saya juga terkesan dengan kejadian itu kerana SMK Methodist adalah bekas sekolah saya menimba ilmu selama lima tahun.

Menurut rekod Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia, purata dua kes bunuh diri dilaporkan di Malaysia setiap hari, jumlahnya kecil jika dibanding negara seperti China, India, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan sejuta orang membunuh diri setiap tahun di seluruh dunia, iaitu kira-kira 3,000 kes setiap hari.

Di China dikatakan 300,000 orang membunuh diri setiap tahun, manakala di AS 30,000 dengan lebih 5,000 kes membabitkan pelajar berusia 14 hingga 24 dilaporkan pada 2014.

Di India, lebih 26,000 pelajar direkodkan membunuh diri pada 2014-2016 atau purata seorang setiap 55 minit. Kebanyakan kes akibat tekanan menghadapi atau gagal peperiksaan, tekanan ibu bapa mengenai pilihan kursus atau kerjaya, putus cinta, tekanan hidup serta penderaan secara lisan dan fizikal oleh guru.

Dalam kes Vasanthapiriya, soalan besar bermain dalam fikiran saya ialah bagaimana pelajar berusia 14 tahun boleh terfikir untuk membunuh diri.

Apakah kerana persekitaran hidup, pengaruh filem Tamil/Hindustan atau adakah dia antara ribuan pelajar kita yang mengalami tekanan perasaan dan tekanan hidup.

Ramai yang menyalahkan sistem pendidikan negara yang dikatakan terlalu mementingkan markah akademik, menyebabkan tekanan terhadap pelajar, ada juga berpandangan beban kerja menyebabkan guru hilang kawalan diri.

Ada pakar berpendapat guru kita tidak dilatih menghadapi tekanan, tiada peraturan jelas untuk mengendalikan kes seperti Vasanthapiriya. Contohnya, apa panduan untuk guru yang mengesyaki telefon bimbitnya dicuri murid seperti dalam kes Vasanthapiriya.

Sebelum ini, banyak juga kes guru diheret ke mahkamah oleh ibu bapa kerana didakwa mendera anak mereka secara fizikal seperti dalam kes Cikgu Azizan di Nilai, Negeri Sembilan, akhir tahun lalu.

Saya setuju dengan pandangan Profesor Salleh Buang, peguam dan pensyarah undang-undang supaya pihak berkuasa pendidikan menganjurkan kursus kesedaran undang-undang untuk guru.

Langkah itu supaya guru tahu had dalam mengendalikan murid dan kesalahan boleh dihukum supaya tidak terlalu ghairah mendisiplinkan murid sehingga mencederakan selain meletakkan diri mereka menghadapi tindakan guaman.

Sebagai suami kepada seorang guru, saya sendiri memahami tekanan dihadapi mereka khususnya dalam mengendalikan pelbagai gelagat murid dan ibu bapa mereka. Ramai tidak pernah memikirkan masalah warga pendidik.

Ibu bapa hanya perlu memikirkan dua atau tiga anak mereka, itu pun dikatakan membebankan, padahal seorang guru terpaksa melayan kerenah ratusan pelajar setiap hari.

Itulah cabaran paling besar buat seseorang guru. Janganlah kita terus salahkan guru tanpa usul periksa jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Pada masa sama, guru juga tidak boleh menjadi pendidik, penyiasat dan hakim dalam mengendalikan kes pelajar atau ibu bapa. Semua ada had, guru tidak boleh mengambil tindakan sendiri dalam mengendalikan kes seperti itu. Dalam kes Vasanthapiriya, banyak pihak mahu guru terbabit disiasat atas kesalahan mendera, mengurung, menyerang, malah ada juga mahu dia disiasat bagi kesalahan menyebabkan kematian dan membunuh.

Adakah peruntukkan dalam kanun untuk mengambil tindakan sedemikian? Masyarakat tidak boleh beremosi dalam kes ini. Biar polis menyiasat dan putuskan apakah tindakan susulan yang boleh diambil, menentukan siapa bersalah dan apakah kesalahan itu.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Integrasi NSTP