Guru Tak Boleh Guna Telefon Bimbit Dalam Kelas


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan tidak membenarkan guru membawa serta menggunakan telefon bimbit di dalam bilik darjah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata garis panduan mengenai larangan itu memang sudah ada.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes seorang pelajar, M Vasantha Piriya, 14, yang dikatakan tertekan kerana dituduh mencuri telefon pintar milik gurunya sebelum menggantung diri dan meninggal dunia minggu lalu, belum dipastikan sama ada guru itu membawa telefon bimbit ke dalam kelas atau sebaliknya.

"Guru dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, namun tidak dibenarkan membawanya ke dalam kelas di mana sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

"Bagi kes Vasantha Piriya, belum dapat dipastikan lagi setakat ini. Kita bagi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Bengkel Penulisan Kertas Cadangan Penyelidikan untuk guru yang mengajar Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.

Minggu lalu, Vasantha Piriya meninggal dunia selepas sembilan hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang kerana cuba membunuh diri.

Pelajar tingkatan dua itu dikatakan tertekan kerana dituduh mencuri telefon pintar milik gurunya sebelum mengambil keputusan menggantung diri.

Kamalanathan juga menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan tidak akan melindungi sesiapa dan tindakan akan diambil kepada mereka yang bertanggungjawab.

"Tindakan seterusnya yang akan diambil kementerian terhadap sesiapa saja yang bertanggungjawab bergantung kepada laporan siasatan polis," katanya.

Mengenai bengkel berkenaan, beliau berkata, ia dilaksanakan berikutan kekurangan guru Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil yang menerima biasiswa di bawah Hadiah Latihan Persekutuan untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Sumber: BH