Hadi Bimbang Perpecahan Umat Islam Di Malaysia


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan agar umat Islam di negara ini agar tidak berpecah-belah lagi kerana perbezaan fahaman politik


"Kita kena sedar bahawa kita berada dalam negara di mana orang Islam cuma lebih 60 peratus sahaja, " kata Hadi.


PAS akan berusaha ke arah perpaduan di negara ini bagi memastikan agama dapat disemarakkan dan kekuatan serta penguasaan politik umat Islam yang makin lemah dapat diperkukuhkan.


Beliau menegaskan dengan peralihan senario politik dan kedudukan umat Islam menuntut PAS menggerakkan perubahan dengan pendekatan lebih bijaksana.


PAS mungkin melihat kemunculan parti baharu orang Islam - Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Melayu Malaysia (PPBM) yang bersekongkol dengan DAP akan memecahkan lagi umat Islam di negara ini.


"Jangan kita pecah-pecahkan orang Islam. Kita perlu pertahankan kekuatan umat Islam. Yang pertama ajak orang Islam sokong perjuangan kita," ujar berucap melancarkan Markas Besar Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Alor Limbat  malam tadi.



Sebelum ini Abdul Hadi membayangkan PAS mahu menjadi pembangkang yang kuat jika pun tidak dapat memerintah negara ini selepas PRU14.


"Kalau tak boleh, 40 kerusi Parlimen sudah cukup bagi PAS jadi 'penentu'. Jadi parti penentu  pemerintahan negara kerana parti lain tidak boleh memerintah tanpa persefahaman dengan PAS," katanya mengulangi bahawa PAS akan bergabung dengan parti yang boleh menerima Islam.


PAS sebelum ini tidak dapat bersama parti pembangkang yang turut di anggotai DAP kerana parti itu terang-terangan menolak perjuangan Islam. 


Baru-baru ini Abdul  Hadi memberi amaran keras terhadap umat Islam agar tidak menjadi ahli, penyokong atau alat kepada parti yang menolak perjuangan Islam.


Seperti juga PAS, parti terbesar orang Melayu, UMNO sentiasa mengajak umat Islam untuk bersama bagi mempertahankan agama Islam dan hak bangsa serta kuasa politik. 


Namun dalam hal mempertahankan agama, hanya UMNO dan PAS yang boleh 'duduk semeja" berbanding parti pembangkang Melayu yang lain. -  Kedahnews.com