PARTI Amanah Negara (PAN) menepis dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mahu membolot semua kerusi yang ditandingi oleh PAS bagi memecah- belahkan umat Islam.
Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Mohd Tahir, bukan semua kerusi yang ditandingi PAS itu akan ditandingi oleh PAN, sebaliknya sebahagian ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kerusi yang ditandingi PAS itu kini menjadi 'rebutan' antara PKR, PPBM dan PAN hingga pembahagian kerusi itu pada PRU14 belum dapat dimuktamadkan.
Lagi pun kata Anuar dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja bebas apabila dibubarkan parlimen untuk menamakan dirinya, malahan orang perseorangan juga boleh, bukan sahaja parti, dia boleh bertanding sebagai calon bebas.
"Jadi jangan ada usaha menyekat sesiapa untuk bertanding dalam PRU ini," katanya yang dipetik daripada Antarapos.
PAS sebelum ini juga menegaskan parti itu berhak untuk bertanding di mana sahaja kerana parti tiada lagi ikatan dengan parkatan pembangkang seperti PRU13.
Hadi dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia semalam i berkata, jika Amanah mahu masuk ke dalam parti politik dan melawan Umno, kenapa parti itu 'sibuk' meletakkan calon mereka di kerusi PAS yang telah menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun.
Malah Ahli Parlimen Marang itu juga berkata Amanah adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang ibarat laksana melukut di tepi gantang sahaja.
Sementara itu Anuar mendakwa Hadi yang bersungguh-sungguh menghalau bekas pemimpin PAS pada suatu ketika dahulu dan mahu mereka membuat satu 'platform' baru.
PAS yang telah memecah-belahkan perpaduan yang telah wujud di kalangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat dahulu.
"Kami muncul untuk mengembalikan kesatuan rakyat dengan sama-sama mewujudkan Pakatan Harapan," ujarnya lagi. - Kedahnews.com
