Hanya Selangor Belum Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah – SPRM


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) optimis kerajaan Selangor akan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata amat menyedihkan kerana hanya Selangor belum menandatangani IBR, bagaimanapun pihaknya tidak putus harap mendapatkan satu tarikh sesuai bagi menandatangani ikrar berkenaan.

“Jika negeri lain, termasuk Pulau Pinang dan Kelantan dapat menunjukkan komitmen mereka dalam menandatangani IBR, mengapa Selangor harus berbeza?

“Kita harap sebelum PRU ini, insya Allah. Jika Selangor mahu menambah inisiatif dalam IBR ini nanti kami alu-alukan, lebih banyak inisiatif tambahan yang diletak, lebih banyak komitmen yang perlu dibuat kerajaan negeri,” katanya selepas meninjau program Jimat Belanja Dapur anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SPRM semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk M Saedon Ab Majid.

Selain itu, Dzulkifli berkata siasatan berkaitan pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor kini dalam peringkat akhir.

“Saya jangka siasatan akan selesai selewatnya bulan depan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor mengesahkan wujud pelanggaran syarat dalam pemberian tanah di kampung itu setelah meneliti segala maklumat Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Sementara itu, Ahmad berkata program Jimat Belanja Dapur hari ini merupakan antara usaha Fama dalam membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga barang dihadapi pengguna.

“Pada program yang dilaksanakan di Pasar Tani, Kedai Agrobazar, dan Kedai Rakyat 1Malaysia ini, barangan dapur terpilih dijual pada harga 5 hingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran.

“Program ini turut mendapat kerjasama LKIM yang memberikan potongan harga istimewa bagi ikan segar sejuk beku Q-Fish dan lelongan ikan segar lain,” katanya. – Bernama