Hati-Hati Individu Tawar Bantuan Mohon BR1M


PETALING JAYA - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati apabila dikunjungi individu tidak dikenali, yang mengatakan anda layak menerima bantuan kewangan, dan menawarkan untuk membantu anda mendapatkan wang tunai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong berkata, sekretariat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menasihati pemohon bahawa proses permohonan adalah percuma dan tidak melibatkan ejen.

"Borang-borang permohonan boleh didapati dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau dalam talian.

"Setakat ini kami tidak menerima aduan mengenai isu ini (orang ramai yang ditipu kerana BR1M) tetapi kami boleh menasihatkan bahawa semua permohonan BR1M adalah percuma," katanya ketika dihubungi.

Peringkat pertama pembayaran BR1M tahun ini sedang berjalan. Bantuan tunai diberikan kepada isi rumah dalam tiga peringkat pada Februari, Jun dan Ogos.

Mereka yang di dalam kategori individu tunggal akan menerima jumlah sekali gus dalam tempoh pembayaran pertama.

Didapati LHDN sebelum ini menerima aduan daripada pemohon dan penerima BR1M yang mendakwa menerima emel atau mesej teks daripada individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN, mendakwa menawarkan jaminan BR1M atau membantu memeriksa status kelulusan mereka.

"Kami tidak menghantar mana-mana emel atau teks melalui mana-mana pegawai individu kepada pemohon atau penerima BR1M.

"Oleh itu, kami menasihati mereka yang telah menerima emel atau mesej palsu untuk memadamnya dan tidak memberi sebarang maklum balas seperti yang diminta kepada pengirim," kata LHDN dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan perangkap berkenaan.

Menurut pegawai itu, sesiapa yang ingin memohon bantuan kebajikan perlu hadir ke pejabat jabatannya sendiri, dengan semua dokumen yang diperlukan.

"Kami tidak pernah melantik atau mengesahkan mana-mana ejen untuk bertindak sebagai perantara.

"Semua pemohon perlu menunjukkan antaranya butiran seperti dokumen pengenalan dan bukti status kewangan kepada kami," kata pegawai itu, sambil menambah bahawa jabatan akan mengambil masa sehingga 30 hari untuk memproses permohonan.

"Jadi orang yang mengatakan bantuan itu boleh diterima segera adalah menipu," kata pegawai itu.

Sumber: Mstar Online