ALOR SETAR - Seekor helang sewah liar yang berlegar-legar sejak tiga minggu lepas berhampiran sebuah rumah penduduk di Kampung Padang Temusu dekat sini, berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, semalam.
Menurut pegawainya, Kapten Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata, tindakan menangkap burung tersebut dibuat selepas ia bertindak menyerang penghuni di kawasan berhampiran.
“Mangsa serangan yang juga penghuni rumah terbabit memaklumkan bahawa anggota keluarganya yang lain juga cedera akibat diserang helang terbabit.
“Ketika anggota tiba di lokasi, helang itu berada di atas bumbung rumah dan diumpan dengan ikan sebelum ditangkap menggunakan jaring,” katanya memetik Bernama.
Seorang mangsa, Nur Athirah Nabilah Nazi, 18, ketika dihubungi berkata, dia sekeluarga memberi makan ikan atau leher ayam kepada helang berkenaan sejak ia muncul di kawasan rumah mereka.
“Kami fikir ia mungkin sesat dan kelaparan, lalu kami bagi makan ikan atau leher ayam...bahkan setiap hari sebelum keluar rumah kami akan bagi makan, baru helang itu tak ganggu.
“Tetapi semalam, kami dah bagi makan, mungkin tidak cukup dan ia rasa lapar lalu helang itu bertindak menyerang saya, menyebabkan jari saya cedera,” ujarnya.
Selain Nur Athirah Nabilah, anak kepada sepupunya turut dicakar pada bahagian leher, manakala abang dan bapa saudaranya terjatuh sewaktu melarikan diri daripada diserang helang terbabit. - Kedahnews.com