Ibu Bapa Fahamilah Anak-Anakmu


WAJAHNYA sedikit murung. Kelihatan ada air mata yang tertahan daripada mengalir keluar. Sesekali diseka hujung mata dengan tangan. Anak jantan, tak ingin dilihat larut dalam tangisan.

Mungkin… boleh jadi dia rasa bersalah kerana culas, hingga adik yang kecil menangis kesakitan akibat terjatuh di lantai papan. Atau mungkin juga ada rasa ‘marah’ berbaur sedih kerana dicubit atas kesalahannya tadi, mudah-mudahan jadi ingatan, agar tidak berulang pada masa depan.

Kadang-kadang tanpa sedar, dalam memenuhi hasrat ibu bapa mendidik anak-anak, mereka sering merasa ‘berkuasa’ ke atas jiwa-jiwa kecil ini. Sering terlupa yang anak-anak ini juga manusia yang punya rasa.

Beralasankan ibu dan ayah lebih tahu, maka kesilapan anak-anak acap tidak ditangani dengan cara yang lebih wajar dan bijaksana. Marah melulu sering didahului berbanding berbicara dari hati ke hati, menyelidik duduk perkara sebenar sebelum memberi penjelasan panjang lebar.

Ironinya, orang-orang dewasa bergelar ibu bapa ini adalah juga mereka yang pernah menjalani zaman kecil, di usia sama seperti anak-anak mereka sedang berada. Jika dahulu, semasa kecil perlakuan sama diberikan, sudah pasti penerimaan yang tidak jauh berbeza dirasakan dalam hati.

Memang benar, banyak ketikanya, ibu bapa mahu anak-anak mereka menjadi matang lantaran menjadi dewasa adalah satu perkara yang tidak terhindarkan daripada hidup manusia. Selain secara biologinya anak-anak ini akan bertambah besar dan tua, setiap mereka yang bergelar manusia juga akan dituntut untuk bertanggung jawab atas kelangsungan hidupnya sendiri.

Kerana itu, sejak kecil anak-anak ini mahu dipersiapkan untuk menghadapinya, contohnya melalui pendidikan, dan ketika tuntutan itu semakin tinggi, maka persiapannya juga turut semakin berat sehingga tanpa sedar,  mereka membesar atas kehendak dan acuan yang dibentuk ibu bapa dan dibawa menjauh daripada potensi diri yang sebenar.

Mungkin, ada relevannya pendapat yang pernah saya baca, bahawa setiap orang dewasa hakikatnya pernah melalui masa kanak-kanak mereka, namun tidak semua yang mengingat. Bahkan hampir semua lupa bagaimana ‘rasanya’ menjadi seorang kanak-kanak yang dikawal selia oleh orang dewasa.

THE LITTLE PRINCE
Berkesempatan menonton sebuah filem animasi yang cantik lagi menarik sewaktu bermusafir dengan penerbangan udara baru-baru ini, menjadikan saya cukup teruja dengan watak utama yang ditampilkan dalam filem tersebut, The Little Prince.

Ia merupakan filem animasi yang diangkat dari sebuah buku karya Antoine de Saint-Exupery, dan merupakan buku yang paling banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dengan judul asalnya, Le Petit Prince. Sungguhpun filem ini dilihat sebagai satu hiburan buat kanak-kanak dengan lakaran penuh warna-warni, namun, saya merasakan ia juga amat sesuai ditonton oleh orang dewasa, terutama ibu bapa yang sedang berhadapan cabaran mendidik anak-anak yang menginjak usia remaja.

Ini kerana, kisah The Little Prince  sarat berisi nasihat dan pesan bagaimana kualiti seseorang individu dewasa itu banyak ditentukan daripada masa kanak-kanaknya.

Apakah mereka puas menjalani masa kecil yang penuh dengan imaginasi dan kreativiti? Atau justeru terkongkong oleh Nora?

Lewat filem ini, pengajaran yang dibawa adalah awal mula permasalahan terjadi kepada anak-anak, bila mana orang dewasa tidak mampu menangkap maksud daripada tindakan atau sikap mudah yang ditunjukkan oleh mereka. Dalam cerita ini, iktibar tersebut diwakili oleh perasaan kesal dan hampa seorang kanak-kanak apabila lukisan ular yang dilakarnya sedang menelan seekor gajah tidak dapat difahami oleh orang dewasa, bahkan lebih dari itu, hasil usahanya itu diperlekeh dan dianggap sebagai membuang masa.

Kanak-kanak itu mengeluh : “Orang dewasa tak pernah memahami sesuatu seperti apa sepatutnya, dan sungguh melelahkan bagi anak-anak jika harus menjelaskan sesuatu kepada mereka.”

MESRA KATA-KATA

Pada saya, apa yang boleh diperbaiki oleh ibu bapa dalam menangani anak-anak dan seterusnya untuk memahami mereka ialah dengan menggunakan pendekatan yang lebih ‘mesra kata-kata’.

Bahasa yang dilontar, melalui patah-patah perkataan yang digunakan, biasanya banyak memainkan peranan menukar mood tidak baik kepada sebaliknya.

Hasil pembacaan saya kepada beberapa buah buku keibubapaan menemukan saya dengan teknik-teknik berikut :

1) Jauhkan dari menuduh, sebaliknya beri penjelasan.

MENUDUH : “Wani, kenapa cuai sangat ni? Tengok apa yang Wani dah buat. Habis basah karpet baru kita..” Gerutu seorang ibu apabila melihat karpet baru ruang tamu basah dengan air minum.

MENJELAS : “Wani, karpet kita basah kerana air yang tumpah, boleh tolong bersih dan lapkan untuk ummi?”

2) Jauhkan menuduh, sebaliknya beri informasi.

MENUDUH : "Shahir, apa kamu fikir kamu buat? Siapa yang beri kebenaran untuk conteng meja ni?" Marah seorang guru kepada muridnya yang sedang asyik menconteng meja.

BERI INFORMASI : “Shahir, meja bukan untuk diconteng-conteng di atasnya, kalau untuk melukis atau menulis, gunakan kertas.”

3) Dari memberi arahan, sebaiknya berikan pilihan.

ARAHAN : “Awatif tak dengar apa yang mama cakap? Sekarang masa tidur. Naik atas, gosok gigi dan tidur!” Arah Puan Normah kepada anaknya yang masih bulat mata bermain anak patung kegemarannya.

PILIHAN : “Wah, cantiknya anak patung Awatif. Kalau Awatif belum mengantuk, Mama beri masa lima minit sahaja lagi untuk bermain, atau Awatif boleh terus naik ke atas, gosok gigi dan tidur. Ok, sayang?”

4) Usah mengugut, sebaliknya beri ayat atau perkataan mudah.

MENGUGUT : “Asif, kenapa tak pakai jaket? Sejuk kat luar tu, demam nanti, Mak tak mahu beli ubat...” Ugut Mak Cik Nani kepada anaknya yang selalu lupa memakai jaket.

GUNAKAN PERKATAAN : “Hasif, pakai jaket.”

5) Jauhkan ‘sarcasm’ sebaliknya jelaskan apa yang kita rasa.

SARCASM : “Hayati, awak ingat saya ni pokok ke? Saya tak suka awak asyik pegang baju saya macam ni..” Rungut seorang guru tadika kepada anak muridnya yang masih belum biasa dengan suasana baru sekolah, hingga suka bergantung kepada hujung baju gurunya itu.

JELASKAN : “Hayati, cikgu rasa kurang selesa bila Hayati pegang baju cikgu selalu. Tolong lepaskan dan kita baca buku sama-sama, ok?”

Anak-anak yang telah melakukan kesalahan juga tidak akan merasa ‘terhukum’ lagi dan lagi setelah rasa bersalah akibat kesilapan yang dibuat telah pun menjadi satu hukuman buat mereka. Sebaliknya, mereka terdidik secara langsung untuk lebih prihatin, peduli dan responsi.

JANGAN HILANGKAN…

Tidak lama...saya mengintai ke depan. Melihat Khalil kembali bermain bersama adik kecilnya, mereka tertawa dan usik mengusik bersama, menyelinap rasa bersalah di jiwa.

Perlahan-lahan dia saya hampiri.

"Tadi Khalil buat apa sampai adik boleh jatuh ke lantai. Khalil tengok tv ye?" Saya menyoal.

Khalil diam.

"Khalil main dengan adik, tapi adik tersalah pegang, jatuh...Khalil tak tengok tv pun, ummi.." Dia menjelaskan. Perlahan suaranya.

Saya sebak...Benarlah nasihat orang-orang lama: "Dengarlah untuk memahami, bukan mencari isi bagi membalas lagi dan lagi untuk memuaskan diri sendiri."

Biar sedewasa bagaimanapun kita, usah hilangkan jiwa ‘anak-anak’ daripada diri...

Anak-anak, tak sukar untuk kembali ceria, mudah lupa dan mudah memaafkan...besarnya jiwa mereka.

Sumber: Sinar