Imigresen Kulim Bakal Pindah Ke Tempat Lebih Strategik


ALOR SETAR – Pejabat Imigresen Daerah Kulim kini dalam usaha untuk dipindahkan ke lokasi yang lebih strategik dan selesa dalam masa terdekat.

Ketua Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Daerah Kulim, Muhamad Ali Abdullah berkata, telah sekian lama pejabat imigresen yang terletak di Jalan Lunas, Taman Seluang di sini berada dalam kedaifan selain lokasinya yang sempit dan dilihat seperti tidak selamat.

“Pejabat sedia ada sekarang tidak sesuai lagi dalam menampung kapasiti pelanggan terutama pada hari Ahad. Ini kerana, imigresen Kulim-Bandar Baharu bukan saja menerima pelanggan dari sekitar selatan Kedah tetapi Pulau Pinang.

“Malah lokasinya yang terletak di bangunan rumah kedai dan berhampiran jalan utama, mengundang risiko yang pelbagai seperti dipecah masuk,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui media di Karnival Sukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Peringkat Kulim-Bandar Baharu di Kulim, semalam.

Tambahnya, urusan mengenal pasti lokasi dan perpindahan pejabat imigresen tersebut sudah dibincangkan dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkenaan.

“Kita belum tentukan lokasi sebenar namun melihat kawasan di Kulim Hi-Tech adalah paling sesuai dari aspek keluasan, keselamatan dan kemudahan lain termasuk parkir,” katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata perpindahan tersebut adalah antara perancangan untuk menaik taraf infrastruktur di daerah ini.

“Apa yang penting, lokasi dan bangunan baharu itu akan melancarkan urusan pelanggan terutama membabitkan visa dan pasport,” katanya. 

Antara lain, karnival itu dihadiri lebih 1,500 orang daripada 12 agensi di bawah KDN termasuk Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan 500 peserta menyertai lima acara yang dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, badminton, tarik tali dan sukaneka. - Kedahnews.com