Import Timbul, Pemain Tempatan Tenggelam?


KUALA LUMPUR - Tirai Liga Super musim ini secara rasmi disingkap pada Sabtu lalu, dengan perlawanan Sumbangsih melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah merasmikan pertandingan yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan tanah air itu.

Namun, sejak awal lagi bahang mula terasa selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah kuota daripada empat kepada lima pemain, sekali gus merancakkan lagi kempen Liga Super, yang dilihat semakin kompetetif.

Dalam masa sama, ia juga menutup peluang pemain tempatan untuk merebut tempat terutama di bahagian serangan yang kebanyakan pasukan lebih gemar menurunkan khidmat import demi memburu kemenangan.

Persoalan yang timbul selepas aksi pembukaan baru-baru ini menyaksikan 12 daripada 13 jaringan dihasilkan oleh pemain import, sehingga boleh memberi kesan kepada skuad kebangsaan.

Perkara itu diakui bekas jurulatih kebangsaan, Azraai Khor Abdullah dengan berkata, situasi tersebut diibaratkan seperti ‘sudah terang lagi bersuluh’ terhadap ‘ekosistem’ penyerang tempatan demi bola sepak negara.

Begitu pun katanya, pemain tempatan digesa tidak menjadikan kehadiran pemain import sebagai batu penghalang untuk mereka bersaing secara sihat dalam perebutan tempat.

“Pemain tempatan sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk meningkatkan permainan agar dapat menarik minat jurulatih masing-masing supaya mereka dapat diturunkan dalam kesebelasan utama. Ini adalah persaingan sihat.

“Mereka (penyerang tempatan) perlu mempertajamkan penyudah. Memang diakui pemain import sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang mereka untuk merebut tempat, namun faktor itu tidak boleh dijadikan alasan.

Sejarah membuktikan tanpa pemain import, skuad Harimau Malaya pernah meraih tiga kejuaraan pada Sukan SEA 2009, Piala AFF 2010 dan Sukan SEA 2011.

Kejayaan diraih setelah FAM mengharamkan pemain import dalam Liga M pada tahun-tahun berkenaan.

Namun, sejak ‘pengharaman’ itu dimansuhkan pada 2012, prestasi pemain tempatan kembali merosot manakala pemain import kembali menguasai Liga Malaysia.

“Bagaimanapun, masalah ini tidak boleh diletakkan 100 peratus di bahu jurulatih, kerana setiap pengurusan pasukan meletakkan sasaran untuk menang.

“Jurulatih sudah pasti akan meletakkan pemain terbaik dalam pasukan untuk mengharungi setiap perlawanan,” tambahnya.

Sumber: Utusan Online