ISU berkaitan pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa sedang hangat diperkatakan saat ini selepas pelancaran koleksi hijab terbarunya dilakukan di sebuah kelab malam terkenal, malam semalam.
Perkara itu kini bukan sahaja mendapat reaksi negatif daripada netizen, tetapi ia juga dilihat menyentuh sensitiviti agama di negara ini.
Ramai mengatakan pemilihan lokasi untuk melancarkan koleksi hijab tersebut sangat tidak sesuai dengan hijab yang sinonim dengan pemakaian menutup aurat.
Isu ini juga mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri yang turut menulis surat terbuka untuk Neelofa.
Dengan kehangatan isu ini, satu rakaman video Neelofa menceritakan saat hatinya terbuka untuk mengenakan hijab buat kali pertama kembali tersebar di media sosial.
Menerusi wawancara bersama radio IKIM FM yang dikeluarkan kira-kira empat tahun lepas, Neelofa menceritakan tentang perasaannya ketika itu apabila merasakan hidupnya mempunyai segalanya namun masih merasakan ada sesuatu yang tidak lengkap.
Neelofa kemudiannya menceritakan bahawa dia berdoa kepada Allah SWT meminta untuk menunjukkan apakah perkara yang membuatkan hidupnya berasa tidak lengkap.
“Saya ada semua benda seperti kerjaya, keluarga, kawan-kawan. Semuanya dah diberi Allah. Tapi, masih lagi mencari satu benda yang takde yang buat saya rasa tak lengkap.
“Saya bukak secara random Tafsir Al-Quran dan terbuka penghujung Surah Al-Hud dan awal Surah An-Nur. Dalam surah An-Nur ayat ke -31 dia ada sebut mengenai tutuplah aurat,” jelasnya dalam video tersebut.
Katanya, perkara tersebut nyata membuktikan bahawa Allah SWT mendengar rintihannya ketika itu dan sedang menyampaikan mesej kepadanya.
“Saya tak boleh nak pertikaikan lagi. Jadi saya terus cakap walaupun saya berada dalam indutri ini, banyak show yang saya buat, saya kena letak tepi. Ini (menutup aurat) nombor satu,” ujarnya.
Di dalam rakaman berdurasi 1 minit 37 saat itu, Neelofa jelas merasakan perkara berkenaan sebagai titik perubahan dalam kehidupannya sebagai wanita beragama Islam dan juga sebagai seorang artis yang bekerja dalam industri hiburan negara.
Jadi, agak hairanlah, beberapa tahun kemudian Neelofa sudah kembali berani melakukan perkara-perkara yang menimbulkan kontroversi dan menjadi buah mulut netizen.
Selain kes pelancaran hijabnya ini, adegan berpelukan bersama Zul Ariffin juga menjadi bualan netizen baru-baru ini selain tindakannya memakai turban ketika dilantik menjadi duta sebuah produk kecantikan.
Apa-apa pun, kami pasti Neelofa akan lebih berhati-hati baik dalam perjalanan kariernya atau pelan bisnes miliknya selepas ini. - Kedahnews.com