Insiden Kereta Kabel Langkawi: Kena Jawab Pada Kedutaan China?


ALOR SETAR - Tindakan susulan mengenai kejadian kereta kabel di sini mungkin turut melibatkan penjelasan kepada Kedutaan China selepas siasatan dijalankan, kata Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Pihak Lada kini berusaha menangani keadaan berikutan perkhidmatan membabitkan 16 daripada 60 gondola Langkawi SkyCab yang dinaiki 88 penumpang, terkandas selama hampir empat jam pada Ahad.

Insiden tersebut melibatkan lebih 900 pelancong terkandas di dua stesen di Gunung Machinchang.

Malah, kira-kira separuh daripada pelancong yang terlibat adalah dari negara China.

"Sudah tentu tidak ada pelancong yang mahu merasai pengalaman itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Datuk Azizan Noordin di pejabat lembaga itu di sini, Isnin.

"Kita akan memberi penjelasan berhubung masalah itu bagi mengelakkan tindak balas yang boleh memberi kesan besar kepada perniagaan pelancongan.

"Kira-kira 3,000 pelancong menggunakan perkhidmatan kereta kabel setiap hari, dan kira-kira 5,000 semasa musim perayaan," katanya memetik Mstar Online.

Gangguan sistem telah mengakibatkan 16 gondola tidak bergerak antara stesen dari pukul 6 petang hingga 9.50 malam Ahad.

Seramai 20 kakitangan teknikal kemudian menyelesaikan masalah tersebut, dan pasukan penyelamat berjaya menurunkan semua pelancong terkandas serta kakitangan stesen pada pukul 11 malam.

"Kereta kabel berada dalam keadaan yang baik kerana kesemuanya diperiksa dan diservis setiap hari.

"Namun malangnya ia berlaku tanpa diduga," kata Azizan. - Kedahnews.com