Isteri Tuntut Cerai Suami Bakhil Tak Masuk Akal


SEORANG wanita baru-baru ini memfailkan perceraian terhadap suaminya yang berusia 32 tahun, hanya 40 hari selepas berkahwin dengan alasan suaminya sangat kedekut.

Wanita berkenaan mendakwa suaminya enggan membeli kebab pada kali pertama dan satu-satunya hari mereka keluar bersama sebagai suami isteri.

Bercakap di Mahkamah Keluarga di Zananiri, Mesir, Sameeha, 30, berkata, 'insiden kebab' itu adalah kemuncak, selepas sebelum itu banyak bersabar dengan suaminya.

Dia berkahwin dengan Ahmed, seorang guru, setelah mengenali lelaki itu selama dua bulan, tempoh yang nampaknya tidak cukup untuk menyedari perangai peliknya.

Sikap 'bakhil'nya nampak ketara selepas perkahwinan tradisional mereka.

Pada hari pertama perkahwinannya, Ahmed didakwa memberitahu isterinya bahawa dia benci keluar berjalan kerana melihatnya sebagai pembaziran.

Sameeha bagaimanapun tidak memberi perhatian terhadap apa yang didengarnya, tetapi keadaan menjadi lebih buruk hari demi hari.

Sameeha memberitahu hakim yang mengetuai kes perceraiannya walaupun mempunyai pekerjaan yang baik dan mengadakan kelas tambahan, Ahmed terlampau berjimat cermat, walaupun dari segi makanan.

Sebelum keluar bekerja, dia akan memeriksa berapa banyak roti yang tinggal, dan pada suatu ketika, apabila Sameeha makan sepotong roti ketika suaminya tiada, dia menyuruh isterinya hanya makan nasi dan makaroni hingga hujung minggu.

Wanita itu memberitahu keluarganya mengenai perangai pelik Ahmed tetapi mereka tidak melihatnya sebagai masalah dan menasihatinya supaya bersabar, kerana percaya suaminya akan berubah pada waktunya.

"Suami saya terlalu berat mulut, bila saya memintanya bercakap dengan saya, saya akhirnya bercakap dengan diri saya sendiri," kata wanita itu, cuba menjelaskan bagaimana sikap Ahmed.

Tetapi 'insiden kebab' akhirnya meyakinkan Sameeha bahawa dia menuntut perceraian selepas 40 hari perkahwinannya dengan Ahmed.

Sebelum kejadian, dia meminta Ahmed membawanya keluar minum supaya dia boleh mendapatkan udara segar.

Tetapi apabila dia meminta suaminya membelikan kebab, permintaannya ditolak dengan alasan mereka hanya keluar untuk minum, bukan makan.

"Dia menuduh saya mempergunakan dirinya untuk memesan kebab dan jus dalam satu hari," kata Sameeha di mahkamah.

"Apabila suami saya enggan membelinya, saya marah dan dia terus menyalahkan saya semasa kami berada dalam kereta, memanggil saya hipokrit dan menyatakan bahawa keluar pada hari itu adalah satu kesilapan."

Sameeha tidak tahan lagi, jadi dia kembali kepada ibu bapanya dan memfailkan perceraian.

Dia memberitahu hakim bahawa dia tidak boleh hidup dengan suaminya yang 'sakit'.

Sumber: Mstar Online