Jambatan P.Pinang ‘Tersekat’ Akibat Lori Pasir Terbalik


TERKANDAS…. Gara-gara sebuah lori pasir terbalik, aliran trafik di sepanjang Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah pulau dilaporkan mengalami kesesakan teruk sehingga ke tanah besar.

Menurut maklumat daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, insiden kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 7.6 di atas jambatan menuju ke arah bahagian pulau kira-kira pukul 11.15 pagi Selasa.

Sementara itu , Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila salah satu tayar lori berkenaan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

“Dua lorong ditutup bagi kerja mengalihkan lori berkenaan dan membersihkan jalan,” katanya kepada media. Kes tersebut turut menyebabkan kesesakan terburuk di semua laluan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di Perai.

Malahan stesen radio tempatan Mutiara FM melaporkan pengguna kenderaan ‘tersangkut’ langsung tidak dapat bergerak sehingga ke susur Permatang Pauh dekat Seberang Jaya selain laluan di kawasan perindustrian Perai.

Insiden kali ini mengulangi peristiwa kabel elektrik terbakar di bawah jambatan mercu tanda negeri tersebut pada 11 September 2010 yang menyaksikan kesesakan trafik luar biasa dalam sejarah. 

Sumber – Agensi