KUALA TERENGGANU - Seorang janda anak tiga menggunakan gambar bogel dan video seksi dirinya sendiri bagi mempromosi khidmat pelacuran kepada lelaki hidung belang menerusi aplikasi WeChat.
Difahamkan, suspek berusia 40 tahun itu mampu meraih pendapatan kasar antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan dengan bayaran khidmat ditetapkan berdasarkan pakej yang ditawarkan.
Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu kira-kira jam 11.15 malam di sebuah hotel di bandar raya ini baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid, berkata wanita terbabit mempromosi perkhidmatannya melalui aplikasi WeChat dengan bayaran antara RM200 hingga RM250, yang mana pelanggan perlu membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu secara dalam talian.
Katanya, baki bayaran akan dilunaskan pelanggan di dalam bilik sebelum mengadakan hubungan seks dan suspek mencari pelanggan dengan bergerak sendiri menaiki bas ke seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Perlis.
"Wanita terbabit mendakwa melakukan kegiatan berkenaan sejak 2016 untuk menyara anak dan keluarganya dengan pendapatan kasar antara RM5,000 hingga RM7,000.
"Pihak kami turut merampas barangan seperti 33 keping sarung kondom, dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM400," katanya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim @ Isa membenarkan suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.
Sumber: BH Online