SETELAH sekian lama, pelakon Datin Diana Danielle akhirnya memuat naik swafoto bersama suami, Datuk Farid Kamil di laman Instagram dan ia telah menarik perhatian pengikutnya.
Menerusi kapsyen di foto tersebut, Diana memberi kata-kata sokongan untuk seseorang yang sedang melalui kesulitan dan nasihat agar terus bersabar mengharungi dugaan Allah.
"Dan ketika langit gelap, tidak ada manusia yang mampu membuatkan dunia beralih ke muka matahari tetapi hanya Yang Maha Kuasa.
"Mereka yang mengalami kesulitan sedang berada di dalam kegelapan, tetapi Allah menyukai dan memberi petunjuk kepada orang-orang yang sabar.
"Kita berada di dalam orbit-Nya, jadi jangan takut dan risau," tulis Diana.
Rata-rata pengikutnya berpendapat kapsyen itu bertujuan untuk beri semangat dan sokongan buat Farid yang sedang berdepan dengan lima pertuduhan.
Malah, mereka juga meluahkan rasa gembira dan bersyukur melihat pasangan itu kuat mengharungi segala dugaan dan ujian.
"Isteri adalah penguat kepada suami, suami adalah pelindung kepada isteri. Semoga kekal bahagian hingga ke Jannah. Macam Che Mad dan Aurora.
"Alhamdullilah. Ini yang semua nak tengok. Sebab korang sweet jodoh Insya-Allah milik korang. Jangan berpisah okey. Jaga hubungan sampai Jannah.
"Assalammualaikum. Setuju. Allah sentiasa ada bersama kita tidak kira apa sahaja, la tahzan," komen beberapa pengikutnya.
Terbaru menerusi laporan Malay Mail, Farid membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga menyebabkan dia berkelakuan ganas di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.
Dalam satu laporan Polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 31 Januari lalu, Farid juga mendakwa berlaku kekerasan terhadapnya oleh pihak Polis semasa ditahan reman kerana menyerang polis dan orang awam.
Sebelum ini, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu didakwa sebanyak lima pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM12,000 pada 16 Januari lalu.
Selain itu, dia juga didakwa memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, pada 11 Januari lalu dan dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes ini sama dengan tarikh sebutan empat tuduhan jenayah lain yang dihadapinya iaitu 5 Mac depan.
Sumber: Mstar Online