Jangan Tunjuk Kita Bahagia, Nanti Kena Curi - Fasha


PETALING JAYA - Pelakon terkenal, Fasha Sandha, mahu lebih berhati-hati apabila bercerita mengenai soal peribadi, termasuk lelaki yang kini dikatakan rapat dengannya.

Walaupun mengakui beliau sangat bahagia sekarang dan tidak lagi sunyi, namun pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan, 33, tetap mengunci mulut mengenai identiti lelaki yang dimaksudkan itu.

"Hanya saya seorang yang tahu dengan siapa saya berkawan. Buat masa ini, saya lebih selesa berkawan saja. Bukan tak nak dedahkan, tetapi saya takut tak jadi. Bahagia kita jangan ditunjuk, nanti orang curi. Derita kita pula jangan beritahu semua orang, nanti kena keji.

"Biarlah rasa bahagia itu saya simpan dalam diri. Nanti kalau memang sudah jadi, barulah saya akan kongsi. Apa pun, saya akui sangat bahagia sekarang kerana saya tidak lagi rasa sunyi," kata Fasha kepada BH Online.

Pelakon jelita ini ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Badang, di sini.

Menerusi naskhah arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen itu, Fasha yang memegang watak Tisha bergandingan dengan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Ditanya sampai bilakah beliau mahu kekal solo sebelum mengambil keputusan untuk kembali berumah tangga, pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2017, ini memberi tempoh dua tahun untuk berbuat demikian.

"Seronok sebenarnya apabila memegang status 'single'. Saya bebas nak berkawan dengan sesiapa saja dan orang juga senang nak dekati kita. Maklum sajalah, apabila hidup solo, ia bermakna kita tak ada komitmen.

"Kalau betul lelaki itu mahukan saya, dia kenalah bersabar. Setakat ini tiada siapapun yang mendesak," ujar ibu kepada sepasang cahaya mata ini penuh bermakna.

Sumber: BH Online