Janji Kepada Rakyat Tak Mungkin Dilaksana Sepenuhnya - Pakatan Kedah


Pakatan Harapan (PH) Kedah juga menerima hakikat bahawa janji yang ditaburkan kepada rakyat selama ini tidak mudah untuk dikotakan.

Namun pengakuan itu hanya terbit selepas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terpaksa 'angkat tangan' kerana tidak mampu memenuhi kira-kira 60 janji ditabur pemimpin mereka jika memenangi PRU14 kelak.

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh semalam mengakui bahawa parti  terpaksa mengambil jalan realistik dalam menawarkan janji kepada rakyat.

PH sedar gabungan itu berdepan kekangan termasuk aspek kewangan untuk menunaikan semua janji itu jika berjaya menubuhkan kerajaan kelak.

"Sudah tentu janji itu tidak semuanya boleh dilakukan serta-merta, ada yang akan dilakukan berperingkat ikut kemampuan kewangan.

"Ada juga untuk melaksanakan manifesto itu, ia terikat dengan undang-undang seperti perjanjian konsesi, maka itu juga harus dirungkai terlebih dahulu," katanya yang dipetik daripada BH. 

Ditanya sama ada kenyataan itu akan mengelirukan rakyat khususnya penyokong PH, Ismail bagaimanapun berkata, mereka tentunya akan memahami perkara demikian.

"Dalam masa terdekat manifesto akan siap dan itulah tawaran sebenarnya kepada rakyat, " katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail pula berkata, PH diakui akan mengalami kesukaran di peringkat awal untuk memenuhi semua janji yang ditawarkan sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya manifesto yang akan ditawarkan kelak akan lebih bersifat realiti berdasarkan keadaan semasa.

"Akan berlaku kesukaran pada mulanya tetapi ia akan dijelaskan nanti jika ia mengelirukan rakyat, " katanya.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata janji yang dibuat oleh individu dan parti gabungan tidak akan diambilkira kerana ia adalah cadangan mereka. -Kedahnews.com.