JERITAN orang ramai menggagalkan niat lelaki warga emas untuk menamatkan hayatnya dengan menggantung diri pada pokok berhampiran bulatan Jalan Astana, Petra Jaya, semalam.
Dalam kejadian 6.55 petang itu, lelaki berusia 72 tahun terbabit dilihat orang awam mengikat tali nilon sebelum menjerut lehernya.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian itu disedari orang awam yang kemudiannya bergegas menyelamatkan lelaki terbabit.
Menurutnya, ketika dihampiri lelaki terbabit tidak sedarkan diri sebelum ambulans dari Hospital Umum Sarawak dipanggil untuk tindakan lanjut.
"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengidap parkinson sejak 2016 dan bergantung sepenuhnya kepada ubat yang dibekalkan hospital.
"Sekiranya ubat tidak dimakan, lelaki terbabit akan menggigil selain sering dilihat bercakap sendirian di sekitar Jalan Astana," katanya.
Abang Ahmad berkata, buat masa ini lelaki terbabit perlu dipantau doktor HUS dan sudah sedarkan diri, namun masih lemah.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung motif lelaki terbabit menggantung dirinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
Sumber: Metro