JKR Kedah Dedah Jarak Selamat Di Belakang Kenderaan Berat


ALOR SETAR – Kemalangan melibatkan kenderaan berat seringkali terjadi sejak kebelakangan ini.

Demikian itu, pengguna jalan raya diingatkan sentiasa mengawasi jarak yang selamat semasa memandu, terutamanya di belakang kenderaan berat bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah Chan Kei Hong berkata, hasil pemerhatian mendapati, ramai pengguna jalan raya tidak mementingkan aspek keselamatan berikutan tidak menjaga jarak semasa memandu sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan kematian.

“Jangan memandu terlalu rapat dengan kenderaan berat seperti bas atau lori kerana fizikal kenderaan yang besar akan menyebabkan pemandu sukar untuk melihat dan ia merupakan titik buta kepada mereka.

“Jarak yang paling selamat adalah dengan mengikut peraturan antara dua hingga empat saat di belakang kenderaan hadapan. Ini merupakan jarak yang paling selamat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tegasnya, jika pengguna jalan raya mempraktikan jarak selamat antara kenderaan dihadapan, nescaya mereka mampu berhenti dengan selamat jika kenderaan di hadapan menekan brek secara tiba-tiba.

Terdahulu, Chan telah merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Stesen Bas Shahab Perdana bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan JPJ negeri Megat Shariffudin berkata pihaknya kini akan mempergiatkan rondaan di jalan utama dan lebuh raya sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan pemandu kenderaan berat mematuhi arahan larangan kenderaan berat untuk berada di jalan raya.

“Tarikh larangan kenderaan berat sebelum perayaan adalah pada 14 dan 15 Feb, manakala selepas perayaan pada 24 dan 25 Feb. Pada tarikh ini kenderaan larangan dan kenderaan berat tidak dibenarkan berada di jalan raya.

“Sekiranya pemandu kenderaan ini melanggar arahan yang dikeluarkan, JPJ akan menyita kenderaan tersebut dalam tempoh 48 jam sebelum dilepaskan semula,” katanya. - Kedahnews.com