JPJ Kaji Keselamatan Stesen Penguatkuasaan


IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji semula kesemua stesen penguatkuasaannya di seluruh negara bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

Ia susulan lima kenderaan, termasuk tiga kenderaan jabatan itu yang dibakar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori Kuala Kangsar, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua jenis Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger serta dua kereta disita jenis Volvo yang diparkir di kawasan jabatan itu masing-masing musnah 90 dan 70 peratus dibakar.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kajian yang akan dilakukan itu adalah dari segi kedudukan balai pengawal, kamera litar tertutup (CCTV) serta lokasi kenderaan diletakkan.

"Kita (JPJ) juga akan mengkaji semula keperluan untuk membina tembok batu mengelilingi kawasan stesen penguatkuasaan kerana pagar sedia ada mudah dipotong.

"Sebelum ini, kita sudah menubuhkan Unit Keselamatan JPJ di semua negeri bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik, " katanya pada sidang media Program Advokasi dan Pemantauan di Perak sempena Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2018 di Terminal Bas Aman Jaya di sini, semalam.

Wan Ahmad Uzir berkata, ketua cawangan, anggota serta pengawal bertugas di Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori di Kuala Kangsar dan dua pemilik kenderaan awam yang terbakar itu sudah diambil keterangan oleh polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada polis sehingga dalang utama yang membakar kenderaan itu ditahan.

"JPJ tidak gentar dengan ugutan mana-mana sindiket atau individu yang cuba melakukan ancaman seperti itu kerana kesemua anggota sentiasa komited dengan tugasan.

"Aduan diterima JPJ berkenaan pelbagai kes (kenderaan klon, kereta potong dan lain-lain) amat banyak sekaligus memerlukan penguatkuasaan dijalankan walaupun berhadapan dengan ancaman seperti itu," katanya.

Semalam, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Sayani Saidon berkata, hasil analisis terhadap enam sampel yang diambil di lokasi kejadian mendapati terdapat unsur bahan bakar.

Sumber: BH Online