ALOR SETAR - Dua tan ayam habis dijual hanya dalam tempoh satu setengah jam pada program Jualan Sentuhan Rakyat apabila lebih 1,000 penduduk menyerbu program anjuran pusat khidmat Ahli Parlimen Langkawi itu hari ini.
Menurut sumber, orang ramai tiba sejam lebih awal sebelum jualan yang berlangsung di pekarangan Wisma UMNO Langkawi dibuka pada jam 9 pagi.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, berkata program itu bertujuan membantu rakyat membeli barang keperluan harian pada harga lebih murah dari harga di pasaran untuk meringankan kos sara hidup.
"Penganjuran Jualan Sentuhan Rakyat julung kali ini mendapat sambutan luar biasa apabila diserbu lebih kurang 1,000 penduduk seawal jam 8 pagi.
"Antara barang yang menjadi rebutan ialah ayam mentah siap diproses dijual pada harga RM6.50 sekilogram, iaitu kira-kira 25 peratus lebih murah dari harga di pasaran," katanya memetik BH Online.
Tambah Nawawi, program sama akan diteruskan di lima lokasi lain termasuk pada 3 Mac ini di Kampung Ayer Hangat, Padang Matsirat (10 Mac), Kampung Temonyong (17 Mac), Kampung Ulu Melaka (24 Mac) sebelum kembali di Kuah (31 Mac).
Katanya, program tersebut mendapat kerjasama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Langkawi, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Langkawi dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). - Kedahnews.com