Jumpa Semula Selepas Tujuh Tahun Hilang


BUKIT MERTAJAM - Gara-gara menyimpan motosikal curi di dalam bengkel, seorang mekanik terpaksa bermalam di lokap apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di Bandar Perai Jaya, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.30 petang itu, polis menemukan semula sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan daripada seorang jurutera selepas motosikal yang di parkir di Bandar Seberang Jaya hilang pada 2 Oktober 2011.

Menurutnya, hasil risikan dan siasatan yang dilakukan pasukan Ops Lejang menyerbu sebuah kedai motosikal di Jalan Perai Jaya 6, Bandar Perai di sini dan menjumpai semula motosikal berkenaan yang hilang sebelum ini.

“Daripada keterangan yang diambil, mekanik berkenaan mengakui telah menerima motosikal itu daripada seorang lelaki untuk dibaiki kerana mengalami kerosakan.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap nombor enjin dan nombor casis motor berkenaan mendapati ia masih dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Nik Ros Azhan berkata, lelaki berusia 34 tahun yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Online