‘Kad Pengenalan Khas Hanya Untuk Rakyat Malaysia Lahir Di China’


KOTA KINABALU: Kad pengenalan khas yang ditawarkan kerajaan China kepada orang Cina luar negara yang berada di Malaysia hanya untuk orang Cina yang lahir di China tetapi menjadi rakyat Malaysia, kata Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah (USCCA) Susan Wong.

Menyangkal khabar angin mengatakan dasar itu akan mencetuskan penghijrahan besar-besaran orang Cina Malaysia ke tanah besar China, Wong berkata, kebanyakan orang Cina, terutamanya di Sabah, tidak layak memohon kad itu.

“Kad itu untuk mereka yang lahir di China tetapi berhijrah ke Malaysia dan diberi kerakyatan Malaysia, jadi mereka boleh guna kad itu untuk pulang jika mahu,” katanya.

“Kad itu bukan orang Cina seperti saya. Datuk nenek saya dan moyang saya berada di sini sebelum Malaysia ditubuhkan,” katanya.

Bulan lepas, portal berita Hong Kong melaporkan China akan melaksanakan sistem kad orang Cina untuk orang Cina yang berada di luar negara, termasuk di Asia Tenggara.

Program itu dijangka akan menarik minat pemaju-pemaju Cina Malaysia ke China untuk membina bandar baharu untuk keperluan orang yang akan berhijrah itu nanti.

Wong berkata demikian semalam pada satu majlis menerima sumbangan RM200,000 daripada kerajaan Sabah dan RM 1,500 dari konsulat China di Kota Kinabalu kerana menganjurkan Festival Tarian Naga, Unikorn dan Singa 2018.

Sejumlah RM150,000 akan digunakan untuk membeli figura kepala singa untuk persatuan-persatuan Cina di negeri itu untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Di majlis itu, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata penganjuran festival itu testimoni kepada kerjasama antara masyarakat Cina dan kerajaan Sabah dalam mempromosikan budaya Cina.

“Kerajaan Sabah peduli semua orang dan kita terus menyokong masyarakat Cina selama ini, termasuk melalui peruntukan tahunan untuk rumah ibadat dan sekolah aliran Cina,” katanya.

Memuji komuniti itu kerana peranan mereka memacu perdagangan dan keusahawanan di Sabah, Musa berkata aktiviti perniagaan membantu membina ekonomi negeri.

Beliau menyeru masyarakat Cina Sabah untuk terus menyokong aspirasi dan program pembangunan kerajaan negeri.

“Kestabilan politik yang kita nikmati sekarang mesti dikekalkan agar kita boleh bawa lebih banyak kemajuan kepada negeri ini dan pastikan semua program yang sedang berjalan dan dirancang diteruskan dengan lancar,” katanya.

Sumber: FMT